Sunday, July 5, 2009

Syarikat Perancis minat serai

SEREMBAN 5 Julai - Sebuah syarikat di Perancis berminat untuk mendapatkan bekalan serai dari negara ini dalam kuantiti yang besar untuk dijadikan bahan campuran memproses minyak wangi.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu, perkembangan itu merupakan satu berita yang positif dan perlu direbut oleh petani di negeri ini dengan melakukan pengeluaran yang lebih konsisten.

''Pengusaha di Perancis telah menyatakan minat untuk membeli bahan mentah dari negara ini. Ada satu syarikat yang hendak beli bahan mentah serai untuk minyak wangi.

''Mereka mahu membeli dalam kuantiti yang banyak," kata beliau kepada pemberita selepas hadir pada majlis mesra rakyat bersama pemimpin di pekarangan Balai Raya Taman Sri Telawi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas lawatan bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Perancis baru-baru.

Menurutnya, pengerusi-pengerusi syarikat besar di negara tersebut juga bertanyakan iklim pelaburan di negara ini.

''Peluang untuk menarik pelabur dari negara itu ke Malaysia amat baik sekali. Mereka mengalu-alukan sistem pelaburan terbuka yang dilaksanakan kerajaan ketika ini," ujar Mohamad.

''Dalam penerangan yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri berhubung dasar pelaburan baru negara, mereka faham bahawa mana-mana negara di dunia ini mempunyai kepentingan untuk melindungi hak penduduk tempatan,'' ujarnya.

Menurutnya, syarikat Perancis juga berharap dalam iklim pelaburan itu, tiada sekatan perdagangan termasuk perkara berkaitan 30 peratus ekuiti yang diwujudkan sebelum ini.

Hasilkan benih udang galah


SANI Mohd. Isa (tengah) melepaskan benih udang galah yang dihasilkan KPSP Seberang Parit sambil dibantu Razali Lajis (dua dari kiri) ke dalam Sungai Batang Padang, di Teluk Intan, baru-baru ini.


LUMUT 5 Julai - Udang galah merupakan makanan laut yang menjadi kegilaan ramai rakyat Malaysia.

Walaupun tidak semua yang boleh menikmati hidangan itu kerana faktor kesihatan, namun permintaan terhadap udang galah sentiasa memberangsangkan tanpa mengira masa.

Perkara itu sangat jelas kerana berdasarkan perangkaan Jabatan Perikanan Perak, negeri ini memerlukan sekurang-kurangnya 10 juta bekalan benih udang galah pada setiap tahun bagi memenuhi permintaan pasaran.

Namun sehingga kini, pihak jabatan hanya mampu mengeluarkan sekitar 5 juta ekor sahaja dan memerlukan penglibatan orang ramai bagi mencapai sasaran yang ditetapkan.

Antara pihak yang menyahut cabaran pihak jabatan ialah Komuniti Pengurusan Sumber Perikanan (KPSP) Seberang Parit, Kampung Sitiawan dekat sini.

KPSP Seberang Parit yang mula menceburi bidang berkenaan mulai tahun lepas kini mengorak langkah positif apabila sudah mampu mempertingkatkan pengeluaran benih udang.

Jika sebelum ini, KPSP hanya mampu mengeluarkan benih sekitar 10,000 ekor benih udang sepusingan, namun dengan cara serta kaedah yang betul, pengeluarannya sudah meningkat kepada hampir 70,000 seekor sepusingan.

Pengurus Projek Penetasan Udang Galah KPSP Seberang Parit, Mohamad Daud Abdul Hamid berkata, kejayaan berkenaan dicapai setelah pihaknya masuk ke pusingan kelima mengeluarkan benih udang galah.

''Dalam pusingan sebelum itu, kami hanya berjaya menghasilkan benih yang sedikit memandangkan kami masih pada peringkat belajar.

''Alhamdulillah, hasil tunjuk ajar kakitangan Pusat Penetasan Udang Galah Kampung Acheh, kami berjaya menghasilkan benih udang yang banyak dan hampir mencapai sasaran ditetapkan.

''Kami berharap menghasilkan sekurang-kurangnya 100,000 ekor rega pada masa depan," katanya yang kini dibantu oleh dua orang pekerja.

Mohamad Daud berkata, sebagai tanda syukur di atas kejayaan berkenaan, pihaknya dengan ikhlas telah melepaskan sebanyak 20,000 ekor benih udang galah di Dataran JPS, Sungai Batang Padang, Teluk Intan, baru-baru ini.

Majlis pelepasan benih itu disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Pengembangan, Ibu Pejabat Perikanan, Putrajaya, Razali Lajis; Pengarah Perikanan Perak, Sani Mohd. Isa; Ketua Cawangan Pengembangan dan Komuniti Nelayan, Adnan Hussin dan Ahli Jawatankuasa KPSP Seberang Parit.

Program pelepasan perairan umum itu merupakan salah satu program kelolaan Jabatan Perikanan bersama KPSP Seberang Parit untuk memperkenal dan mempromosikan udang galah.

Kegigihan usahawan udang


Nejee Muddin menunjukkan udang harimau yang diternaknya.


BATU PAHAT 5 Julai - Berpegang kepada semangat untuk terus maju dalam bidang penternakan, Najee Muddin Ibrahim, 37, melangkah lebih jauh dalam penternakan udang tanpa rasa ragu dan menjadikan setiap kelemahan sebagai penguat semangat.

Memulakan projek ternakan udang harimau sejak tujuh tahun lalu dengan modal sendiri sebanyak RM760,000 serta sokongan padu daripada ahli keluarga, menjadikan lelaki bersemangat waja ini seorang yang gigih dalam usahanya.

Walaupun pada tahun pertama dia banyak mengalami kerugian akibat kurang kemahiran, namun dia tidak pernah berputus asa dan menjadikan kegagalan sebagai pembakar semangat untuk berjaya.

Bapa kepada tiga orang anak ini bermula dengan membeli 4.5 hektar tanah dengan kos lebih RM100,000 untuk membuat kolam udang harimau di Lot 3033, Kampung Teluk Bakong, Sungai Kajang dekat sini kira-kira tujuh tahun lalu.

Bermula dengan empat buah kolam ternakan berukuran 49,000 kaki persegi setiap satu, kini beliau mempunyai enam kolam udang dengan empat pekerja yang bertanggungjawab menjaga pemakanan ternakannya dan kebersihan kolam-kolam berkenaan.

Najee Muddin mendapat benih anak udang daripada pembekal di Johor Bahru dengan harga tiga sen hingga RM1.20 seekor, bergantung kepada usia benih itu dan setiap kali membeli benih, dia memerlukan RM11,000 untuk tiga tan benih bagi memenuhi semua kolam yang diusahakan.

"Setelah dua tahun saya berusaha keras untuk menjayakan kolam udang ini, barulah ia menampakkan hasil. Tahun pertama selalu rugi, banyak udang mati kerana keadaan air yang tak sesuai," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Namun, kini apabila harga udang harimau agak tinggi dia turut menternak udang putih yang mendapat permintaan tinggi dalam pasaran.

Selain mendapat bimbingan daripada Jabatan Perikanan, dia turut menyertai pelbagai kursus yang dianjurkan bagi menambahkan pengetahuannya dalam bidang penternakan udang dan ikan.

Menurut Najee Muddin, udang ternakannya akan dihantar kepada dua pemborong tetap untuk pasaran di Johor Bahru dan Singapura selain pasaran lain di dalam negara.

Hasil kegigihannya, beliau dianugerahkan sebagai Wira Tani (Belia) oleh Jabatan Belia dan Sukan Johor tahun lalu dan mendapat Anugerah Belia Tani peringkat Kebangsaan.

Kini dia telah membuka syarikatnya sendiri iaitu Najee Brothers Sdn. Bhd., dan sedang merangka untuk membesarkan projek ternakan udangnya untuk pasaran antarabangsa.

Katanya, beliau telah mendapat 2,000 hektar kawasan di Taman Halal Tanjung Manis, Sarawak dan akan mengusahakan ternakan udang putih dan ikan kerapu.

"Dalam perjanjian yang telah dimeterai, saya diberi tempoh 30 tahun untuk mengusahakan kawasan berkenaan dan modal yang diperlukan ialah RM2 juta," jelasnya.

Selain menternak udang dan ikan, beliau akan mengusahakan makanan sejuk beku berasaskan udang dan ikan untuk dieksport ke luar negara khususnya umat Islam.

Katanya, kertas kerja telah pun disiapkan dan kajian terperinci dibuat oleh konsultan yang dilantik dari Singapura.

Setakat ini, katanya, ada sebuah syarikat dari Hong Kong berminat untuk menjadi pelabur dan dengan adanya produk makanan sejuk beku berasaskan ikan dan udang ia akan memudahkan warga Islam di luar negara seperti Jepun dan Hong Kong mendapatkan makanan berkenaan.

Wednesday, June 24, 2009

UPM perkenal mesin pasteur cekap dan murah


NURUL Faizah Jamaludin menunjukkan alat pempasteur kompak mudah alih.


PEMPASTEURAN merupakan salah satu proses penting dalam pembangunan industri makanan atau minuman bagi menjamin produk yang dihasilkan benar-benar bersih dan selamat.

Aktiviti itu sebenarnya telah mula diperkenalkan di Perancis sejak tahun 1917 bagi tujuan mempasteur produk makanan berasid rendah.

Bagaimanapun di Malaysia, usaha mengkomersialkan teknologi tersebut masih belum dilaksanakan secara meluas.

Namun sejak kebelakangan ini, penyertaan menggalakkan masyarakat dalam industri makanan telah menarik minat ramai pengusaha untuk mengaplikasikan teknologi berkenaan.

Ini kerana berbanding pemanas konvensional seperti dandang atau stim, teknik pempasteuran adalah lebih cekap. Menerusinya, hampir kesemua tenaga dapat diserap ke dalam makanan secara seragam untuk mempercepatkan peningkatan suhu dan sekali gus menjimatkan kos.

Cara itu juga dapat mengurangkan aktiviti mikro organisma yang boleh merosakkan makanan agar ia dapat disimpan lebih lama dalam suhu yang rendah.

Melihat kepada kepelbagaian manfaat teknologi pempasteuran berkenaan, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah memperkenalkan alat pempasteuran kompak mudah alih.

Dikenali sebagai Pempasteuran Haba Ohmik, mesin tersebut dilengkapi dengan peralatan seperti sel pemanas ohmik, sistem pengurusan bendalir dan juga sistem kawalan pemanasan.

Menurut penyelidiknya, Prof. Ir. Dr. Norman Mariun, mesin itu sesuai digunakan untuk proses mempasteur produk makanan dalam bentuk cecair seperti jus minuman, sos, kicap, susu dan sebagainya.

menjimatkan

''Secara praktikalnya, mesin yang menggunakan tenaga elektrik termaju ini mempunyai dua tiub pengepam masuk dan keluar bagi tujuan menjimatkan penggunaan tenaga elektrik.

''Bagi sel pemanasan pula, ia berfungsi untuk mengawal capaian suhu sama ada cepat atau lambat bergantung kepada produk yang ingin dipasteur,'' katanya selepas majlis pembentangan hasil penyelidikannya di Fakulti Kejuruteraan UPM, Serdang baru-baru ini.

Beliau yang membangunkan teknologi tersebut bersama tiga orang lagi penyelidik memberitahu, proses rekaan produk itu telah mula dijalankan sejak tahun 1997 dan siap sepenuhnya pada tahun 2004.

Antara kelebihan mesin tersebut adalah penggunaannya mengekalkan kualiti makanan, bersih, menjimatkan tenaga sehingga 50 peratus, tiada kebocoran tenaga dan selamat.

''Kapasiti penggunaan dan rekaan mesin ini boleh diselaraskan mengikut keperluan serta permintaan sesebuah industri,'' jelasnya yang juga Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Siswazah) di Fakulti Kejuruteraan UPM.

Melihat kepada potensi mesin tersebut, ia sesuai digunakan oleh pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) khususnya dalam sektor makanan dan minuman.

Untuk menjalankan operasinya, pengguna hanya perlu menentukan kelajuan pam serta menetapkan suhu di bahagian sel pemanasan ohmik mengikut bahan yang hendak dipasteur.

Mesin tersebut kemudian akan menghasilkan haba dari rentasan elektrik dan seterusnya menyerap ke dalam makanan untuk menjadikannya panas dengan pantas dan sekata.

Kebiasaannya, makanan yang telah dipasteur perlu disejukkan dengan segera ke dalam alat pendingin selepas pendedahan kepada haba.

Menarik mengenai mesin itu, ia hanya akan menjana haba mengikut keperluan pempasteuran dan kelebihan itu pastinya akan dapat mengurangkan pembaziran tenaga.

Di samping itu, pengguna juga tidak perlu menunggu lama untuk memastikan mesin tersebut panas kerana suhunya boleh dikawal secara terus menerusi paparan skrin yang disediakan.

Dari segi kos analisis pula, penggunaan alat pempasteuran ohmik ini hanya melibatkan nilai 1.5 sen seliter berbanding sistem lain seperti suntikan stim (lima sen seliter), piring pemanas boleh laras (tiga sen seliter) dan suntikan stim dengan pemulihan haba (2.4 sen seliter).

Bukan itu sahaja, kekuatan peralatan yang digunakan juga mampu memberi ketahanan kepada mesin tersebut untuk berfungsi dalam jangka masa yang panjang.

Pihak UPM kini sedang giat menjalankan kerjasama dengan beberapa pihak konsultan dan syarikat teknologi tempatan bagi meluaskan pasaran produk berkenaan.

Produk teknologi yang sedang dalam proses mendapatkan hak paten itu sebelum ini pernah menerima beberapa anugerah kecemerlangan seperti pingat emas di pertandingan Idea Penemuan Produk Baru (IENA) 2008 di Jerman dan juga Anugerah Produk Inovatif Malaysia 2008.

Untuk perancangan masa hadapan, UPM bercadang mempertingkatkan keupayaan mesin itu menerusi tawaran fungsi yang lebih baik seperti menggunakan tenaga elektrik berfrekuensi tinggi.

Filet tilapia ke pasaran AS


ROHANI Abd. Karim (empat dari kiri) memberi makanan kepada ikan tilapia hitam dalam satu sangkar Projek Berimpak Besar Zon Industri Akuakulter di Tasik Temengor, baru-baru ini.


GERIK 23 Jun - Produk filet (isi ikan) tilapia keluaran Trapia Malaysia Sdn. Bhd. (Trapia Malaysia) akan memasuki pasaran Amerika Syarikat (AS) mulai Ogos ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abd. Karim berkata, ia merupakan kejayaan hasil misi perdagangan disertai syarikat berkenaan di Pameran Makanan Laut Boston, AS pada Mac lalu.

"Kejayaan memasuki pasaran AS yang merupakan pengimport filet tilapia terbesar dunia berikutan misi perdagangan yang disertai Trapia Malaysia dan Jabatan Perikanan dalam pameran di Boston Mac lalu.

"Nilai dagangan yang termeterai dianggarkan RM30 juta setahun," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek tersebut di Tasik Temenggor dekat sini kelmarin.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Junaidi Che Ayub dan Pegawai Daerah Hulu Perak, Datuk Abdul Karim Osman.

Menurut Rohani, buat masa ini projek itu mampu mengeluarkan kira-kira 5,000 tan metrik filet tilapia setahun dan dijangka meningkat sehingga 40,000 tan metrik pada 2013.

Sementara itu, Pengarah Trapia Malaysia, Lai Sead Ping berkata, projek penternakan ikan tilapia hitam memberi impak besar dan mampu menjana pendapatan ratusan juta ringgit setahun.

"Sebagai tanggungjawab sosial korporat, kami mahu manfaatnya turut dinikmati penduduk tempatan khususnya dari sekitar daerah Hulu Perak," katanya sambil mengakui hanya mengambil penduduk tempatan sebagai pekerja.

Dalam masa sama, menurut Sead Ping, pihaknya berhasrat membantu anak-anak tempatan yang berminat, menceburi bidang ternakan ikan tilapia.

Buat permulaan, katanya, Trapia Malaysia akan melatih 20 perintis di kalangan siswazah dan usahawan tempatan melalui skim pertanian kontrak.

Jelas beliau, usaha tersebut dilakukan dengan kerjasama Jabatan Perikanan, Kerajaan Negeri Perak dan Kolej Komuniti Gerik.

"Kami akan memberi latihan insentif selama enam bulan kepada pelatih terbabit tentang teknik dan prosedur penternakan ikan tilapia hitam.

"Saya difahamkan borang permohonan untuk memohon skim berkenaan akan dikeluarkan dalam masa terdekat," katanya.

Perintis Agrotech tawar formula ProAsli untuk ternakan keli

Isu keli yang memakan sisa najis khinzir di Perak baru-baru ini bukan sahaja menggemparkan masyarakat bahkan mencalar imej penternak keli dan mengakibatkan permintaan ikan keli di pasar borong menurun empat kali ganda.

Namun ada kesan positif daripada isu tersebut, pembeli telah mula berhati-hati memilih keli yang benar-benar diyakini bersih dan halal sebelum dibeli.

Dari perspektif penternak, sekiranya sumber makanan keli hanya bergantung kepada pelet semata-mata pasti semua penternak akan mengeluh mengenangkan kos makanan yang begitu tinggi dan membebankan.

Pelbagai pihak cuba mencari formula untuk mengurangkan kos makanan bagi membantu mengembalikan keuntungan kepada penternak. Ramai penternak yang telah gulung tikar dan putus asa dengan penternakan yang dijalankan.

Perintis Agrotech Centre tampil memberikan kaedah alternatif kepada penternak. Salah satu kaedah terkini yang mendapat sambutan ialah kaedah Pro-Asli.

Ia bukanlah teknik pemakanan lengkap tetapi satu kaedah pemakanan alternatif yang menggabungkan sumber semulajadi dan bioteknologi yang berupaya mengurangkan kebergantungan ikan kepada pelet dan dapat mengurangkan kekerapan pemberian makanan.

Produk Pro-Asli

'Pro' berasal dari istilah probiotik yang membabitkan agen-agen biologi akan bertindak membantu tumbesaran ikan dengan memperbaiki sistem penghadaman dan pencernaan.

'Asli' pula adalah makanan semulajadi dan asal ikan yang dibentuk di dalam air untuk menjimatkan kos makanan. Kedua-dua kaedah ini merupakan gabungan teknologi dari Jepun dan Thailand.

Dua matlamat utama ProAsli iaitu mengurangkan kos makanan ikan dan meningkatkan keuntungan penternak. Terdapat tiga bahan utama di dalam kaedah ini iaitu Bio-Mineral (membentuk makanan semulajadi), Bio-Vita (membantu tumbesaran dan serapan protein tinggi) dan Bio-Aqua (merawat air dan mengekalkan sumber makanan asli di dalam air).

Bio-Mineral

Formula khas untuk membentuk makanan semulajadi di dalam air. Ia merupakan pati sumber mineral, protein, lumut, garam galian dan plankton yang diaktifkan menjadi sumber makanan asli di dalam kolam ternakan.

Fungsi utama adalah untuk menggalakkan pertumbuhan makanan asli seperti zooplankton, fitoplankton, protein dan alga kepada ikan sekali gus mengurangkan kadar pemberian makanan sokongan yang lain.

Bio-Mineral hanya diaktifkan di peringkat awal sahaja di mana air ternakan bukan sahaja untuk ikan hidup tetapi sebagai sumber makanan kepada ikan. Makanan semulajadi yang dibentuk dapat mengurangkan kekerapan dan kadar pemberian makanan kepada ikan.

Bio-Vita

Formula khas untuk meningkatkan dan memaksimumkan daya serapan protin dan nutrisi terhadap makanan yang dimakan. Serapan nutrisi yang maksimum akan dapat mengurangkan kadar pemberian pelet.

Fungsi utama membantu mempercepatkan tumbesaran ikan dengan memperbaiki mikro-flora ikan, memperkuatkan antibodi bagi mengurangkan kematian akibat penyakit dan meningkatkan kualiti ikan.

Juga sesuai digunakan pada ternakan ikan air tawar yang lain seperti patin, tilapia, puyu dan sebagainya.

Ada juga di kalangan penternak yang masih ingin menggunakan pelet sepenuhnya hanya menggunakan Bio-Vita untuk mempercepatkan tumbesaran dan meningkatkan kualiti tekstur ikan.

Bio-Vita perlu digaul bersama pelet pada kadar antara lima dan lapan peratus daripada berat pelet selama tiga kali seminggu. In kerana Bio-Vita berkesan untuk merawat dan memulihkan sistem mikroflora ikan sehingga 48 jam.

Bio-Aqua

Formula khas untuk merawat air dari berbau dan berpenyakit serta memperkayakan sumber mineral di dalam air ternakan. Fungsi utama adalah untuk merawat air dari berbau, menukarkan najis ikan kepada lumut, mengurangkan kadar ammonia dan kekerapan penukaran air ternakan.

Penggunaan Bio-Aqua juga dapat membantu penternak ikan air tawar yang sering berhadapan dengan kadar kematian yang tinggi akibat dari serangan penyakit di dalam kolam serta masalah bau air dari kolam ternakan.

Bio-Aqua dituang 2 minggu sekali ke dalam kolam ternakan sebagai rawatan kepada air bagi mengurangkan kadar ammonia serta rawatan penyakit bagi ikan.

Harga Produk

Satu set ProAsli yang mengandungi 10 liter Bio-Mineral, lima liter Bio-Aqua dan lima kilogram (kg) Bio-Vita sesuai untuk 3,000 ekor keli sehingga sedia dituai.

Harga produk tersebut amat munasabah di mana satu set Pro-Asli sesuai untuk ternakan 3000 ekor ikan. Kos keseluruhan makanan (ProAsli dan pelet) bagi satu kg ikan masih rendah iaitu RM1.20 - RM1.50 berbanding RM4.00 - RM4.50 bagi penggunaan 100 peratus pelet.

Kelebihan

Sambutan dari penternak keli amat luar biasa terutamanya di kalangan penternak yang telah merasai keperitan menternak menggunakan pelet.

Ramai juga penternak baru telah mencuba kaedah ini dan memberikan respons yang positif selain membantu penternak menjimatkan kos makanan dan meningkatkan keuntungan.

Kaedah ProAsli juga meningkatkan tekstur daging ikan lebih pejal, ikan lambat rosak, tidak hanyir dan berkualiti tinggi. Berdasarkan respon pengguna, produk tersebut amat berkesan kerana dapat mengurangkan kadar pemberian pelet dan penukaran air ternakan.

Tempoh Tuaian

Dari segi tumbesaran ikan, tempoh tuaian dilihat masih menepati standard ternakan komersial iaitu antara 100 dan 120 hari walaupun mungkin sedikit lewat berbanding pemakanan 100 peratus pelet.

Pasaran

Perintis telah merangka gerak promosi ke seluruh Negara bermula pada awal bulan Mei yang lepas. Sehingga kini, pasaran telah berkembang pesat ke seluruh Semenanjung dan merancang untuk menembusi pasaran Sabah dan Sarawak pada Julai ini. Kebanyakan pemasaran dijalankan oleh penternak yang menjadi pengedar berdaftar kepada Perintis. Sekurang-kurangnya pendapatan hasil jualan dapat memberikan 'wang saku' kepada mereka sementara menunggu hasil tuaian. Ramai yang telah mendaftar sebagai pengedar untuk kegunaan sendiri atau untuk pasaran setempat.

Dengan margin keuntungan dari 20 peratus ke 87.5 peratus, Perintis mempelawa lebih ramai lagi para penggiat pertanian menyertai program pengedar yang dijangka akan mendapat sambutan yang hebat berikutan dari siri promosi yang dilakukan oleh pihak Perintis.

Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut atau ingin menjadi pengedar untuk produk tersebut, bolehlah menghubungi talian 03-6187 3796 atau 019-6634527.

Teknologi mesin bantu usahawan IKS


Hasmin Hakim Hasbullah menunjukkan mesin kuih karas rekaannya yang telah dikomersialkan.


Pertumbuhan industri kecil dan kecil dan sederhana (IKS) terutama pemprosesan makanan amat bergantung kepada automasi atau mesin bagi meningkatkan produktiviti mereka.

Bilangan IKS dijangka meningkat menjelang 2010 selaras dengan hasrat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mewujudkan 10,000 usahawan baru.

Industri pemprosesan makanan merupakan salah satu industri utama yang diberi perhatian dalam Pelan Induk Perindustrian Ketiga (IMP3).

Industri pemprosesan makanan merupakan penyumbang ke lapan terbesar eksport negara yang mewakili 2.6 peratus daripada jumlah eksport negara bagi sektor pembuatan.

Banyak agensi kerajaan misalnya Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) terlibat secara aktif dalam menghasilkan mesin dan peralatan pemprosesan makanan dan minuman, khususnya bagi produk tradisional yang memerlukan teknologi pembuatan yang unik dan proses mekanisasi yang rumit di mana kerja penyelidikan dan pembangunan perlu dijalankan secara bersepadu.

Pegawai Penyelidik Prinsipal, Pusat Mekanisasi dan Automasi MARDI, Samsudin Ahmad berkata, pihaknya telah menghasilkan pelbagai jenis mesin dan peralatan bagi menghasilkan makanan tradisional.

"Antaranya adalah mesin menghasilkan lemang, emping, kuih karas, rempeyek, kuih ros, tabaloi, baulu cermai, cakar ayam, keropok lekor, sate, batang buruk, biji rotan, karipap, mesin mengekstrak isi durian dan jus buah-buahan.

"Kebanyakan mesin yang dihasilkan oleh MARDI telah dikomersialkan dan mendapat sambutan menggalakkan di kalangan usahawan IKS," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Misalnya mesin menghasilkan lemang, kuih karas, ros, keropok lekor dan sate telah digunakan oleh usahawan IKS seluruh negara.

Terkini pihak MARDI telah menghasilkan tiga lagi produk untuk membangunkan IKS tempatan iaitu mesin memproses kuih tradisional empat dalam satu, mesin menggoreng keropok mudah susun dan mesin serba guna bagi mengekstrak citrus dan mengasing biji benih cili.

Mesin memproses kuih tradisional empat dalam satu hasil rekaan pegawai penyelidik Pusat Mekanisasi dan Automasi MARDI, Hasmin Hakim Hasbullah berupaya menghasilkan empat jenis kuih tradisional dengan hanya menggantikan acuan.

"Mesin yang pada mulanya direka untuk kuih karas didapati sesuai bagi menghasilkan maruku, roti jala dan putu mayam.

"Ini secara tidak langsung boleh memberikan pilihan kepada usahawan kecil menghasilkan kuih tradisional mengikut permintaan tanpa menggunakan mesin yang banyak," katanya.

Mesin ini telah mula digunakan oleh sebuah IKS bagi menghasilkan kuih karas.

Pegawai penyelidik dari pusat yang sama dan mencipta mesin serba guna bagi mengekstrak sitrus dan mengasingkan biji benih cili, Masniza Sairi berkata, mesin berkenaan pada mulanya direka untuk menghasilkan jus dokong.

"Bagaimanapun dokong adalah buah-buahan bermusim jadi saya memikirkan untuk mempelbagaikan kegunaannya bagi mengekstrak jus limau dan mengasingkan biji benih cili," katanya.

Menurut Masniza, mesin berkenaan berupaya menghasilkan jus sitrus tanpa memecahkan biji yang menyebabkan jus berasa pahit.

Bagi mengasingkan biji benih cili, getah penggelek akan digantikan mengikut kesesuaian.

"Mesin ini dapat mengurangkan kos, menjimatkan masa dan tidak rumit jika dibandingkan proses secara manual.

"Jika sebelum ini ramai pekerja yang diperlukan, bau yang tidak menyenangkan, tugas yang rumit untuk proses mengasingkan biji benih cili," katanya.

Bagi memajukan dan mengenengahkan mesin dan peralatan pemprosesan makanan dan minuman kepada golongan sasar seperti IKS makanan, pengeluar dan pengedar mesin, pengeksport dan individu yang ingin menceburkan diri dalam industri makanan, MARDI dengan kerjasama agensi kerajaan dan badan profesional akan menganjurkan persidangan mekanisasi pertanian dan makanan peringkat kebangsaan.

Persidangan berkenaan akan diadakan pada 22 hingga 25 Jun di Hotel Renaissance, Melaka.

Sepanjang persidangan pelbagai teknologi dan mesin bagi pemprosesan makanan dan pertanian akan dibincangkan menerusi pembentangan kertas kerja dan pameran bagi memberi peluang kepada mereka yang berminat untuk meninjau lebih dekat.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Teknikal MARDI di talian 03-8941 8070, faksimile 03-8941-3512 atau: ncafm@mardi.gov.my.