Sunday, July 5, 2009

Syarikat Perancis minat serai

SEREMBAN 5 Julai - Sebuah syarikat di Perancis berminat untuk mendapatkan bekalan serai dari negara ini dalam kuantiti yang besar untuk dijadikan bahan campuran memproses minyak wangi.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu, perkembangan itu merupakan satu berita yang positif dan perlu direbut oleh petani di negeri ini dengan melakukan pengeluaran yang lebih konsisten.

''Pengusaha di Perancis telah menyatakan minat untuk membeli bahan mentah dari negara ini. Ada satu syarikat yang hendak beli bahan mentah serai untuk minyak wangi.

''Mereka mahu membeli dalam kuantiti yang banyak," kata beliau kepada pemberita selepas hadir pada majlis mesra rakyat bersama pemimpin di pekarangan Balai Raya Taman Sri Telawi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas lawatan bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Perancis baru-baru.

Menurutnya, pengerusi-pengerusi syarikat besar di negara tersebut juga bertanyakan iklim pelaburan di negara ini.

''Peluang untuk menarik pelabur dari negara itu ke Malaysia amat baik sekali. Mereka mengalu-alukan sistem pelaburan terbuka yang dilaksanakan kerajaan ketika ini," ujar Mohamad.

''Dalam penerangan yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri berhubung dasar pelaburan baru negara, mereka faham bahawa mana-mana negara di dunia ini mempunyai kepentingan untuk melindungi hak penduduk tempatan,'' ujarnya.

Menurutnya, syarikat Perancis juga berharap dalam iklim pelaburan itu, tiada sekatan perdagangan termasuk perkara berkaitan 30 peratus ekuiti yang diwujudkan sebelum ini.

Hasilkan benih udang galah


SANI Mohd. Isa (tengah) melepaskan benih udang galah yang dihasilkan KPSP Seberang Parit sambil dibantu Razali Lajis (dua dari kiri) ke dalam Sungai Batang Padang, di Teluk Intan, baru-baru ini.


LUMUT 5 Julai - Udang galah merupakan makanan laut yang menjadi kegilaan ramai rakyat Malaysia.

Walaupun tidak semua yang boleh menikmati hidangan itu kerana faktor kesihatan, namun permintaan terhadap udang galah sentiasa memberangsangkan tanpa mengira masa.

Perkara itu sangat jelas kerana berdasarkan perangkaan Jabatan Perikanan Perak, negeri ini memerlukan sekurang-kurangnya 10 juta bekalan benih udang galah pada setiap tahun bagi memenuhi permintaan pasaran.

Namun sehingga kini, pihak jabatan hanya mampu mengeluarkan sekitar 5 juta ekor sahaja dan memerlukan penglibatan orang ramai bagi mencapai sasaran yang ditetapkan.

Antara pihak yang menyahut cabaran pihak jabatan ialah Komuniti Pengurusan Sumber Perikanan (KPSP) Seberang Parit, Kampung Sitiawan dekat sini.

KPSP Seberang Parit yang mula menceburi bidang berkenaan mulai tahun lepas kini mengorak langkah positif apabila sudah mampu mempertingkatkan pengeluaran benih udang.

Jika sebelum ini, KPSP hanya mampu mengeluarkan benih sekitar 10,000 ekor benih udang sepusingan, namun dengan cara serta kaedah yang betul, pengeluarannya sudah meningkat kepada hampir 70,000 seekor sepusingan.

Pengurus Projek Penetasan Udang Galah KPSP Seberang Parit, Mohamad Daud Abdul Hamid berkata, kejayaan berkenaan dicapai setelah pihaknya masuk ke pusingan kelima mengeluarkan benih udang galah.

''Dalam pusingan sebelum itu, kami hanya berjaya menghasilkan benih yang sedikit memandangkan kami masih pada peringkat belajar.

''Alhamdulillah, hasil tunjuk ajar kakitangan Pusat Penetasan Udang Galah Kampung Acheh, kami berjaya menghasilkan benih udang yang banyak dan hampir mencapai sasaran ditetapkan.

''Kami berharap menghasilkan sekurang-kurangnya 100,000 ekor rega pada masa depan," katanya yang kini dibantu oleh dua orang pekerja.

Mohamad Daud berkata, sebagai tanda syukur di atas kejayaan berkenaan, pihaknya dengan ikhlas telah melepaskan sebanyak 20,000 ekor benih udang galah di Dataran JPS, Sungai Batang Padang, Teluk Intan, baru-baru ini.

Majlis pelepasan benih itu disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Pengembangan, Ibu Pejabat Perikanan, Putrajaya, Razali Lajis; Pengarah Perikanan Perak, Sani Mohd. Isa; Ketua Cawangan Pengembangan dan Komuniti Nelayan, Adnan Hussin dan Ahli Jawatankuasa KPSP Seberang Parit.

Program pelepasan perairan umum itu merupakan salah satu program kelolaan Jabatan Perikanan bersama KPSP Seberang Parit untuk memperkenal dan mempromosikan udang galah.

Kegigihan usahawan udang


Nejee Muddin menunjukkan udang harimau yang diternaknya.


BATU PAHAT 5 Julai - Berpegang kepada semangat untuk terus maju dalam bidang penternakan, Najee Muddin Ibrahim, 37, melangkah lebih jauh dalam penternakan udang tanpa rasa ragu dan menjadikan setiap kelemahan sebagai penguat semangat.

Memulakan projek ternakan udang harimau sejak tujuh tahun lalu dengan modal sendiri sebanyak RM760,000 serta sokongan padu daripada ahli keluarga, menjadikan lelaki bersemangat waja ini seorang yang gigih dalam usahanya.

Walaupun pada tahun pertama dia banyak mengalami kerugian akibat kurang kemahiran, namun dia tidak pernah berputus asa dan menjadikan kegagalan sebagai pembakar semangat untuk berjaya.

Bapa kepada tiga orang anak ini bermula dengan membeli 4.5 hektar tanah dengan kos lebih RM100,000 untuk membuat kolam udang harimau di Lot 3033, Kampung Teluk Bakong, Sungai Kajang dekat sini kira-kira tujuh tahun lalu.

Bermula dengan empat buah kolam ternakan berukuran 49,000 kaki persegi setiap satu, kini beliau mempunyai enam kolam udang dengan empat pekerja yang bertanggungjawab menjaga pemakanan ternakannya dan kebersihan kolam-kolam berkenaan.

Najee Muddin mendapat benih anak udang daripada pembekal di Johor Bahru dengan harga tiga sen hingga RM1.20 seekor, bergantung kepada usia benih itu dan setiap kali membeli benih, dia memerlukan RM11,000 untuk tiga tan benih bagi memenuhi semua kolam yang diusahakan.

"Setelah dua tahun saya berusaha keras untuk menjayakan kolam udang ini, barulah ia menampakkan hasil. Tahun pertama selalu rugi, banyak udang mati kerana keadaan air yang tak sesuai," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Namun, kini apabila harga udang harimau agak tinggi dia turut menternak udang putih yang mendapat permintaan tinggi dalam pasaran.

Selain mendapat bimbingan daripada Jabatan Perikanan, dia turut menyertai pelbagai kursus yang dianjurkan bagi menambahkan pengetahuannya dalam bidang penternakan udang dan ikan.

Menurut Najee Muddin, udang ternakannya akan dihantar kepada dua pemborong tetap untuk pasaran di Johor Bahru dan Singapura selain pasaran lain di dalam negara.

Hasil kegigihannya, beliau dianugerahkan sebagai Wira Tani (Belia) oleh Jabatan Belia dan Sukan Johor tahun lalu dan mendapat Anugerah Belia Tani peringkat Kebangsaan.

Kini dia telah membuka syarikatnya sendiri iaitu Najee Brothers Sdn. Bhd., dan sedang merangka untuk membesarkan projek ternakan udangnya untuk pasaran antarabangsa.

Katanya, beliau telah mendapat 2,000 hektar kawasan di Taman Halal Tanjung Manis, Sarawak dan akan mengusahakan ternakan udang putih dan ikan kerapu.

"Dalam perjanjian yang telah dimeterai, saya diberi tempoh 30 tahun untuk mengusahakan kawasan berkenaan dan modal yang diperlukan ialah RM2 juta," jelasnya.

Selain menternak udang dan ikan, beliau akan mengusahakan makanan sejuk beku berasaskan udang dan ikan untuk dieksport ke luar negara khususnya umat Islam.

Katanya, kertas kerja telah pun disiapkan dan kajian terperinci dibuat oleh konsultan yang dilantik dari Singapura.

Setakat ini, katanya, ada sebuah syarikat dari Hong Kong berminat untuk menjadi pelabur dan dengan adanya produk makanan sejuk beku berasaskan ikan dan udang ia akan memudahkan warga Islam di luar negara seperti Jepun dan Hong Kong mendapatkan makanan berkenaan.