Sunday, July 5, 2009

Syarikat Perancis minat serai

SEREMBAN 5 Julai - Sebuah syarikat di Perancis berminat untuk mendapatkan bekalan serai dari negara ini dalam kuantiti yang besar untuk dijadikan bahan campuran memproses minyak wangi.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu, perkembangan itu merupakan satu berita yang positif dan perlu direbut oleh petani di negeri ini dengan melakukan pengeluaran yang lebih konsisten.

''Pengusaha di Perancis telah menyatakan minat untuk membeli bahan mentah dari negara ini. Ada satu syarikat yang hendak beli bahan mentah serai untuk minyak wangi.

''Mereka mahu membeli dalam kuantiti yang banyak," kata beliau kepada pemberita selepas hadir pada majlis mesra rakyat bersama pemimpin di pekarangan Balai Raya Taman Sri Telawi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas lawatan bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Perancis baru-baru.

Menurutnya, pengerusi-pengerusi syarikat besar di negara tersebut juga bertanyakan iklim pelaburan di negara ini.

''Peluang untuk menarik pelabur dari negara itu ke Malaysia amat baik sekali. Mereka mengalu-alukan sistem pelaburan terbuka yang dilaksanakan kerajaan ketika ini," ujar Mohamad.

''Dalam penerangan yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri berhubung dasar pelaburan baru negara, mereka faham bahawa mana-mana negara di dunia ini mempunyai kepentingan untuk melindungi hak penduduk tempatan,'' ujarnya.

Menurutnya, syarikat Perancis juga berharap dalam iklim pelaburan itu, tiada sekatan perdagangan termasuk perkara berkaitan 30 peratus ekuiti yang diwujudkan sebelum ini.

Hasilkan benih udang galah


SANI Mohd. Isa (tengah) melepaskan benih udang galah yang dihasilkan KPSP Seberang Parit sambil dibantu Razali Lajis (dua dari kiri) ke dalam Sungai Batang Padang, di Teluk Intan, baru-baru ini.


LUMUT 5 Julai - Udang galah merupakan makanan laut yang menjadi kegilaan ramai rakyat Malaysia.

Walaupun tidak semua yang boleh menikmati hidangan itu kerana faktor kesihatan, namun permintaan terhadap udang galah sentiasa memberangsangkan tanpa mengira masa.

Perkara itu sangat jelas kerana berdasarkan perangkaan Jabatan Perikanan Perak, negeri ini memerlukan sekurang-kurangnya 10 juta bekalan benih udang galah pada setiap tahun bagi memenuhi permintaan pasaran.

Namun sehingga kini, pihak jabatan hanya mampu mengeluarkan sekitar 5 juta ekor sahaja dan memerlukan penglibatan orang ramai bagi mencapai sasaran yang ditetapkan.

Antara pihak yang menyahut cabaran pihak jabatan ialah Komuniti Pengurusan Sumber Perikanan (KPSP) Seberang Parit, Kampung Sitiawan dekat sini.

KPSP Seberang Parit yang mula menceburi bidang berkenaan mulai tahun lepas kini mengorak langkah positif apabila sudah mampu mempertingkatkan pengeluaran benih udang.

Jika sebelum ini, KPSP hanya mampu mengeluarkan benih sekitar 10,000 ekor benih udang sepusingan, namun dengan cara serta kaedah yang betul, pengeluarannya sudah meningkat kepada hampir 70,000 seekor sepusingan.

Pengurus Projek Penetasan Udang Galah KPSP Seberang Parit, Mohamad Daud Abdul Hamid berkata, kejayaan berkenaan dicapai setelah pihaknya masuk ke pusingan kelima mengeluarkan benih udang galah.

''Dalam pusingan sebelum itu, kami hanya berjaya menghasilkan benih yang sedikit memandangkan kami masih pada peringkat belajar.

''Alhamdulillah, hasil tunjuk ajar kakitangan Pusat Penetasan Udang Galah Kampung Acheh, kami berjaya menghasilkan benih udang yang banyak dan hampir mencapai sasaran ditetapkan.

''Kami berharap menghasilkan sekurang-kurangnya 100,000 ekor rega pada masa depan," katanya yang kini dibantu oleh dua orang pekerja.

Mohamad Daud berkata, sebagai tanda syukur di atas kejayaan berkenaan, pihaknya dengan ikhlas telah melepaskan sebanyak 20,000 ekor benih udang galah di Dataran JPS, Sungai Batang Padang, Teluk Intan, baru-baru ini.

Majlis pelepasan benih itu disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Pengembangan, Ibu Pejabat Perikanan, Putrajaya, Razali Lajis; Pengarah Perikanan Perak, Sani Mohd. Isa; Ketua Cawangan Pengembangan dan Komuniti Nelayan, Adnan Hussin dan Ahli Jawatankuasa KPSP Seberang Parit.

Program pelepasan perairan umum itu merupakan salah satu program kelolaan Jabatan Perikanan bersama KPSP Seberang Parit untuk memperkenal dan mempromosikan udang galah.

Kegigihan usahawan udang


Nejee Muddin menunjukkan udang harimau yang diternaknya.


BATU PAHAT 5 Julai - Berpegang kepada semangat untuk terus maju dalam bidang penternakan, Najee Muddin Ibrahim, 37, melangkah lebih jauh dalam penternakan udang tanpa rasa ragu dan menjadikan setiap kelemahan sebagai penguat semangat.

Memulakan projek ternakan udang harimau sejak tujuh tahun lalu dengan modal sendiri sebanyak RM760,000 serta sokongan padu daripada ahli keluarga, menjadikan lelaki bersemangat waja ini seorang yang gigih dalam usahanya.

Walaupun pada tahun pertama dia banyak mengalami kerugian akibat kurang kemahiran, namun dia tidak pernah berputus asa dan menjadikan kegagalan sebagai pembakar semangat untuk berjaya.

Bapa kepada tiga orang anak ini bermula dengan membeli 4.5 hektar tanah dengan kos lebih RM100,000 untuk membuat kolam udang harimau di Lot 3033, Kampung Teluk Bakong, Sungai Kajang dekat sini kira-kira tujuh tahun lalu.

Bermula dengan empat buah kolam ternakan berukuran 49,000 kaki persegi setiap satu, kini beliau mempunyai enam kolam udang dengan empat pekerja yang bertanggungjawab menjaga pemakanan ternakannya dan kebersihan kolam-kolam berkenaan.

Najee Muddin mendapat benih anak udang daripada pembekal di Johor Bahru dengan harga tiga sen hingga RM1.20 seekor, bergantung kepada usia benih itu dan setiap kali membeli benih, dia memerlukan RM11,000 untuk tiga tan benih bagi memenuhi semua kolam yang diusahakan.

"Setelah dua tahun saya berusaha keras untuk menjayakan kolam udang ini, barulah ia menampakkan hasil. Tahun pertama selalu rugi, banyak udang mati kerana keadaan air yang tak sesuai," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Namun, kini apabila harga udang harimau agak tinggi dia turut menternak udang putih yang mendapat permintaan tinggi dalam pasaran.

Selain mendapat bimbingan daripada Jabatan Perikanan, dia turut menyertai pelbagai kursus yang dianjurkan bagi menambahkan pengetahuannya dalam bidang penternakan udang dan ikan.

Menurut Najee Muddin, udang ternakannya akan dihantar kepada dua pemborong tetap untuk pasaran di Johor Bahru dan Singapura selain pasaran lain di dalam negara.

Hasil kegigihannya, beliau dianugerahkan sebagai Wira Tani (Belia) oleh Jabatan Belia dan Sukan Johor tahun lalu dan mendapat Anugerah Belia Tani peringkat Kebangsaan.

Kini dia telah membuka syarikatnya sendiri iaitu Najee Brothers Sdn. Bhd., dan sedang merangka untuk membesarkan projek ternakan udangnya untuk pasaran antarabangsa.

Katanya, beliau telah mendapat 2,000 hektar kawasan di Taman Halal Tanjung Manis, Sarawak dan akan mengusahakan ternakan udang putih dan ikan kerapu.

"Dalam perjanjian yang telah dimeterai, saya diberi tempoh 30 tahun untuk mengusahakan kawasan berkenaan dan modal yang diperlukan ialah RM2 juta," jelasnya.

Selain menternak udang dan ikan, beliau akan mengusahakan makanan sejuk beku berasaskan udang dan ikan untuk dieksport ke luar negara khususnya umat Islam.

Katanya, kertas kerja telah pun disiapkan dan kajian terperinci dibuat oleh konsultan yang dilantik dari Singapura.

Setakat ini, katanya, ada sebuah syarikat dari Hong Kong berminat untuk menjadi pelabur dan dengan adanya produk makanan sejuk beku berasaskan ikan dan udang ia akan memudahkan warga Islam di luar negara seperti Jepun dan Hong Kong mendapatkan makanan berkenaan.

Wednesday, June 24, 2009

UPM perkenal mesin pasteur cekap dan murah


NURUL Faizah Jamaludin menunjukkan alat pempasteur kompak mudah alih.


PEMPASTEURAN merupakan salah satu proses penting dalam pembangunan industri makanan atau minuman bagi menjamin produk yang dihasilkan benar-benar bersih dan selamat.

Aktiviti itu sebenarnya telah mula diperkenalkan di Perancis sejak tahun 1917 bagi tujuan mempasteur produk makanan berasid rendah.

Bagaimanapun di Malaysia, usaha mengkomersialkan teknologi tersebut masih belum dilaksanakan secara meluas.

Namun sejak kebelakangan ini, penyertaan menggalakkan masyarakat dalam industri makanan telah menarik minat ramai pengusaha untuk mengaplikasikan teknologi berkenaan.

Ini kerana berbanding pemanas konvensional seperti dandang atau stim, teknik pempasteuran adalah lebih cekap. Menerusinya, hampir kesemua tenaga dapat diserap ke dalam makanan secara seragam untuk mempercepatkan peningkatan suhu dan sekali gus menjimatkan kos.

Cara itu juga dapat mengurangkan aktiviti mikro organisma yang boleh merosakkan makanan agar ia dapat disimpan lebih lama dalam suhu yang rendah.

Melihat kepada kepelbagaian manfaat teknologi pempasteuran berkenaan, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah memperkenalkan alat pempasteuran kompak mudah alih.

Dikenali sebagai Pempasteuran Haba Ohmik, mesin tersebut dilengkapi dengan peralatan seperti sel pemanas ohmik, sistem pengurusan bendalir dan juga sistem kawalan pemanasan.

Menurut penyelidiknya, Prof. Ir. Dr. Norman Mariun, mesin itu sesuai digunakan untuk proses mempasteur produk makanan dalam bentuk cecair seperti jus minuman, sos, kicap, susu dan sebagainya.

menjimatkan

''Secara praktikalnya, mesin yang menggunakan tenaga elektrik termaju ini mempunyai dua tiub pengepam masuk dan keluar bagi tujuan menjimatkan penggunaan tenaga elektrik.

''Bagi sel pemanasan pula, ia berfungsi untuk mengawal capaian suhu sama ada cepat atau lambat bergantung kepada produk yang ingin dipasteur,'' katanya selepas majlis pembentangan hasil penyelidikannya di Fakulti Kejuruteraan UPM, Serdang baru-baru ini.

Beliau yang membangunkan teknologi tersebut bersama tiga orang lagi penyelidik memberitahu, proses rekaan produk itu telah mula dijalankan sejak tahun 1997 dan siap sepenuhnya pada tahun 2004.

Antara kelebihan mesin tersebut adalah penggunaannya mengekalkan kualiti makanan, bersih, menjimatkan tenaga sehingga 50 peratus, tiada kebocoran tenaga dan selamat.

''Kapasiti penggunaan dan rekaan mesin ini boleh diselaraskan mengikut keperluan serta permintaan sesebuah industri,'' jelasnya yang juga Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Siswazah) di Fakulti Kejuruteraan UPM.

Melihat kepada potensi mesin tersebut, ia sesuai digunakan oleh pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) khususnya dalam sektor makanan dan minuman.

Untuk menjalankan operasinya, pengguna hanya perlu menentukan kelajuan pam serta menetapkan suhu di bahagian sel pemanasan ohmik mengikut bahan yang hendak dipasteur.

Mesin tersebut kemudian akan menghasilkan haba dari rentasan elektrik dan seterusnya menyerap ke dalam makanan untuk menjadikannya panas dengan pantas dan sekata.

Kebiasaannya, makanan yang telah dipasteur perlu disejukkan dengan segera ke dalam alat pendingin selepas pendedahan kepada haba.

Menarik mengenai mesin itu, ia hanya akan menjana haba mengikut keperluan pempasteuran dan kelebihan itu pastinya akan dapat mengurangkan pembaziran tenaga.

Di samping itu, pengguna juga tidak perlu menunggu lama untuk memastikan mesin tersebut panas kerana suhunya boleh dikawal secara terus menerusi paparan skrin yang disediakan.

Dari segi kos analisis pula, penggunaan alat pempasteuran ohmik ini hanya melibatkan nilai 1.5 sen seliter berbanding sistem lain seperti suntikan stim (lima sen seliter), piring pemanas boleh laras (tiga sen seliter) dan suntikan stim dengan pemulihan haba (2.4 sen seliter).

Bukan itu sahaja, kekuatan peralatan yang digunakan juga mampu memberi ketahanan kepada mesin tersebut untuk berfungsi dalam jangka masa yang panjang.

Pihak UPM kini sedang giat menjalankan kerjasama dengan beberapa pihak konsultan dan syarikat teknologi tempatan bagi meluaskan pasaran produk berkenaan.

Produk teknologi yang sedang dalam proses mendapatkan hak paten itu sebelum ini pernah menerima beberapa anugerah kecemerlangan seperti pingat emas di pertandingan Idea Penemuan Produk Baru (IENA) 2008 di Jerman dan juga Anugerah Produk Inovatif Malaysia 2008.

Untuk perancangan masa hadapan, UPM bercadang mempertingkatkan keupayaan mesin itu menerusi tawaran fungsi yang lebih baik seperti menggunakan tenaga elektrik berfrekuensi tinggi.

Filet tilapia ke pasaran AS


ROHANI Abd. Karim (empat dari kiri) memberi makanan kepada ikan tilapia hitam dalam satu sangkar Projek Berimpak Besar Zon Industri Akuakulter di Tasik Temengor, baru-baru ini.


GERIK 23 Jun - Produk filet (isi ikan) tilapia keluaran Trapia Malaysia Sdn. Bhd. (Trapia Malaysia) akan memasuki pasaran Amerika Syarikat (AS) mulai Ogos ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abd. Karim berkata, ia merupakan kejayaan hasil misi perdagangan disertai syarikat berkenaan di Pameran Makanan Laut Boston, AS pada Mac lalu.

"Kejayaan memasuki pasaran AS yang merupakan pengimport filet tilapia terbesar dunia berikutan misi perdagangan yang disertai Trapia Malaysia dan Jabatan Perikanan dalam pameran di Boston Mac lalu.

"Nilai dagangan yang termeterai dianggarkan RM30 juta setahun," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek tersebut di Tasik Temenggor dekat sini kelmarin.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Junaidi Che Ayub dan Pegawai Daerah Hulu Perak, Datuk Abdul Karim Osman.

Menurut Rohani, buat masa ini projek itu mampu mengeluarkan kira-kira 5,000 tan metrik filet tilapia setahun dan dijangka meningkat sehingga 40,000 tan metrik pada 2013.

Sementara itu, Pengarah Trapia Malaysia, Lai Sead Ping berkata, projek penternakan ikan tilapia hitam memberi impak besar dan mampu menjana pendapatan ratusan juta ringgit setahun.

"Sebagai tanggungjawab sosial korporat, kami mahu manfaatnya turut dinikmati penduduk tempatan khususnya dari sekitar daerah Hulu Perak," katanya sambil mengakui hanya mengambil penduduk tempatan sebagai pekerja.

Dalam masa sama, menurut Sead Ping, pihaknya berhasrat membantu anak-anak tempatan yang berminat, menceburi bidang ternakan ikan tilapia.

Buat permulaan, katanya, Trapia Malaysia akan melatih 20 perintis di kalangan siswazah dan usahawan tempatan melalui skim pertanian kontrak.

Jelas beliau, usaha tersebut dilakukan dengan kerjasama Jabatan Perikanan, Kerajaan Negeri Perak dan Kolej Komuniti Gerik.

"Kami akan memberi latihan insentif selama enam bulan kepada pelatih terbabit tentang teknik dan prosedur penternakan ikan tilapia hitam.

"Saya difahamkan borang permohonan untuk memohon skim berkenaan akan dikeluarkan dalam masa terdekat," katanya.

Perintis Agrotech tawar formula ProAsli untuk ternakan keli

Isu keli yang memakan sisa najis khinzir di Perak baru-baru ini bukan sahaja menggemparkan masyarakat bahkan mencalar imej penternak keli dan mengakibatkan permintaan ikan keli di pasar borong menurun empat kali ganda.

Namun ada kesan positif daripada isu tersebut, pembeli telah mula berhati-hati memilih keli yang benar-benar diyakini bersih dan halal sebelum dibeli.

Dari perspektif penternak, sekiranya sumber makanan keli hanya bergantung kepada pelet semata-mata pasti semua penternak akan mengeluh mengenangkan kos makanan yang begitu tinggi dan membebankan.

Pelbagai pihak cuba mencari formula untuk mengurangkan kos makanan bagi membantu mengembalikan keuntungan kepada penternak. Ramai penternak yang telah gulung tikar dan putus asa dengan penternakan yang dijalankan.

Perintis Agrotech Centre tampil memberikan kaedah alternatif kepada penternak. Salah satu kaedah terkini yang mendapat sambutan ialah kaedah Pro-Asli.

Ia bukanlah teknik pemakanan lengkap tetapi satu kaedah pemakanan alternatif yang menggabungkan sumber semulajadi dan bioteknologi yang berupaya mengurangkan kebergantungan ikan kepada pelet dan dapat mengurangkan kekerapan pemberian makanan.

Produk Pro-Asli

'Pro' berasal dari istilah probiotik yang membabitkan agen-agen biologi akan bertindak membantu tumbesaran ikan dengan memperbaiki sistem penghadaman dan pencernaan.

'Asli' pula adalah makanan semulajadi dan asal ikan yang dibentuk di dalam air untuk menjimatkan kos makanan. Kedua-dua kaedah ini merupakan gabungan teknologi dari Jepun dan Thailand.

Dua matlamat utama ProAsli iaitu mengurangkan kos makanan ikan dan meningkatkan keuntungan penternak. Terdapat tiga bahan utama di dalam kaedah ini iaitu Bio-Mineral (membentuk makanan semulajadi), Bio-Vita (membantu tumbesaran dan serapan protein tinggi) dan Bio-Aqua (merawat air dan mengekalkan sumber makanan asli di dalam air).

Bio-Mineral

Formula khas untuk membentuk makanan semulajadi di dalam air. Ia merupakan pati sumber mineral, protein, lumut, garam galian dan plankton yang diaktifkan menjadi sumber makanan asli di dalam kolam ternakan.

Fungsi utama adalah untuk menggalakkan pertumbuhan makanan asli seperti zooplankton, fitoplankton, protein dan alga kepada ikan sekali gus mengurangkan kadar pemberian makanan sokongan yang lain.

Bio-Mineral hanya diaktifkan di peringkat awal sahaja di mana air ternakan bukan sahaja untuk ikan hidup tetapi sebagai sumber makanan kepada ikan. Makanan semulajadi yang dibentuk dapat mengurangkan kekerapan dan kadar pemberian makanan kepada ikan.

Bio-Vita

Formula khas untuk meningkatkan dan memaksimumkan daya serapan protin dan nutrisi terhadap makanan yang dimakan. Serapan nutrisi yang maksimum akan dapat mengurangkan kadar pemberian pelet.

Fungsi utama membantu mempercepatkan tumbesaran ikan dengan memperbaiki mikro-flora ikan, memperkuatkan antibodi bagi mengurangkan kematian akibat penyakit dan meningkatkan kualiti ikan.

Juga sesuai digunakan pada ternakan ikan air tawar yang lain seperti patin, tilapia, puyu dan sebagainya.

Ada juga di kalangan penternak yang masih ingin menggunakan pelet sepenuhnya hanya menggunakan Bio-Vita untuk mempercepatkan tumbesaran dan meningkatkan kualiti tekstur ikan.

Bio-Vita perlu digaul bersama pelet pada kadar antara lima dan lapan peratus daripada berat pelet selama tiga kali seminggu. In kerana Bio-Vita berkesan untuk merawat dan memulihkan sistem mikroflora ikan sehingga 48 jam.

Bio-Aqua

Formula khas untuk merawat air dari berbau dan berpenyakit serta memperkayakan sumber mineral di dalam air ternakan. Fungsi utama adalah untuk merawat air dari berbau, menukarkan najis ikan kepada lumut, mengurangkan kadar ammonia dan kekerapan penukaran air ternakan.

Penggunaan Bio-Aqua juga dapat membantu penternak ikan air tawar yang sering berhadapan dengan kadar kematian yang tinggi akibat dari serangan penyakit di dalam kolam serta masalah bau air dari kolam ternakan.

Bio-Aqua dituang 2 minggu sekali ke dalam kolam ternakan sebagai rawatan kepada air bagi mengurangkan kadar ammonia serta rawatan penyakit bagi ikan.

Harga Produk

Satu set ProAsli yang mengandungi 10 liter Bio-Mineral, lima liter Bio-Aqua dan lima kilogram (kg) Bio-Vita sesuai untuk 3,000 ekor keli sehingga sedia dituai.

Harga produk tersebut amat munasabah di mana satu set Pro-Asli sesuai untuk ternakan 3000 ekor ikan. Kos keseluruhan makanan (ProAsli dan pelet) bagi satu kg ikan masih rendah iaitu RM1.20 - RM1.50 berbanding RM4.00 - RM4.50 bagi penggunaan 100 peratus pelet.

Kelebihan

Sambutan dari penternak keli amat luar biasa terutamanya di kalangan penternak yang telah merasai keperitan menternak menggunakan pelet.

Ramai juga penternak baru telah mencuba kaedah ini dan memberikan respons yang positif selain membantu penternak menjimatkan kos makanan dan meningkatkan keuntungan.

Kaedah ProAsli juga meningkatkan tekstur daging ikan lebih pejal, ikan lambat rosak, tidak hanyir dan berkualiti tinggi. Berdasarkan respon pengguna, produk tersebut amat berkesan kerana dapat mengurangkan kadar pemberian pelet dan penukaran air ternakan.

Tempoh Tuaian

Dari segi tumbesaran ikan, tempoh tuaian dilihat masih menepati standard ternakan komersial iaitu antara 100 dan 120 hari walaupun mungkin sedikit lewat berbanding pemakanan 100 peratus pelet.

Pasaran

Perintis telah merangka gerak promosi ke seluruh Negara bermula pada awal bulan Mei yang lepas. Sehingga kini, pasaran telah berkembang pesat ke seluruh Semenanjung dan merancang untuk menembusi pasaran Sabah dan Sarawak pada Julai ini. Kebanyakan pemasaran dijalankan oleh penternak yang menjadi pengedar berdaftar kepada Perintis. Sekurang-kurangnya pendapatan hasil jualan dapat memberikan 'wang saku' kepada mereka sementara menunggu hasil tuaian. Ramai yang telah mendaftar sebagai pengedar untuk kegunaan sendiri atau untuk pasaran setempat.

Dengan margin keuntungan dari 20 peratus ke 87.5 peratus, Perintis mempelawa lebih ramai lagi para penggiat pertanian menyertai program pengedar yang dijangka akan mendapat sambutan yang hebat berikutan dari siri promosi yang dilakukan oleh pihak Perintis.

Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut atau ingin menjadi pengedar untuk produk tersebut, bolehlah menghubungi talian 03-6187 3796 atau 019-6634527.

Teknologi mesin bantu usahawan IKS


Hasmin Hakim Hasbullah menunjukkan mesin kuih karas rekaannya yang telah dikomersialkan.


Pertumbuhan industri kecil dan kecil dan sederhana (IKS) terutama pemprosesan makanan amat bergantung kepada automasi atau mesin bagi meningkatkan produktiviti mereka.

Bilangan IKS dijangka meningkat menjelang 2010 selaras dengan hasrat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mewujudkan 10,000 usahawan baru.

Industri pemprosesan makanan merupakan salah satu industri utama yang diberi perhatian dalam Pelan Induk Perindustrian Ketiga (IMP3).

Industri pemprosesan makanan merupakan penyumbang ke lapan terbesar eksport negara yang mewakili 2.6 peratus daripada jumlah eksport negara bagi sektor pembuatan.

Banyak agensi kerajaan misalnya Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) terlibat secara aktif dalam menghasilkan mesin dan peralatan pemprosesan makanan dan minuman, khususnya bagi produk tradisional yang memerlukan teknologi pembuatan yang unik dan proses mekanisasi yang rumit di mana kerja penyelidikan dan pembangunan perlu dijalankan secara bersepadu.

Pegawai Penyelidik Prinsipal, Pusat Mekanisasi dan Automasi MARDI, Samsudin Ahmad berkata, pihaknya telah menghasilkan pelbagai jenis mesin dan peralatan bagi menghasilkan makanan tradisional.

"Antaranya adalah mesin menghasilkan lemang, emping, kuih karas, rempeyek, kuih ros, tabaloi, baulu cermai, cakar ayam, keropok lekor, sate, batang buruk, biji rotan, karipap, mesin mengekstrak isi durian dan jus buah-buahan.

"Kebanyakan mesin yang dihasilkan oleh MARDI telah dikomersialkan dan mendapat sambutan menggalakkan di kalangan usahawan IKS," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Misalnya mesin menghasilkan lemang, kuih karas, ros, keropok lekor dan sate telah digunakan oleh usahawan IKS seluruh negara.

Terkini pihak MARDI telah menghasilkan tiga lagi produk untuk membangunkan IKS tempatan iaitu mesin memproses kuih tradisional empat dalam satu, mesin menggoreng keropok mudah susun dan mesin serba guna bagi mengekstrak citrus dan mengasing biji benih cili.

Mesin memproses kuih tradisional empat dalam satu hasil rekaan pegawai penyelidik Pusat Mekanisasi dan Automasi MARDI, Hasmin Hakim Hasbullah berupaya menghasilkan empat jenis kuih tradisional dengan hanya menggantikan acuan.

"Mesin yang pada mulanya direka untuk kuih karas didapati sesuai bagi menghasilkan maruku, roti jala dan putu mayam.

"Ini secara tidak langsung boleh memberikan pilihan kepada usahawan kecil menghasilkan kuih tradisional mengikut permintaan tanpa menggunakan mesin yang banyak," katanya.

Mesin ini telah mula digunakan oleh sebuah IKS bagi menghasilkan kuih karas.

Pegawai penyelidik dari pusat yang sama dan mencipta mesin serba guna bagi mengekstrak sitrus dan mengasingkan biji benih cili, Masniza Sairi berkata, mesin berkenaan pada mulanya direka untuk menghasilkan jus dokong.

"Bagaimanapun dokong adalah buah-buahan bermusim jadi saya memikirkan untuk mempelbagaikan kegunaannya bagi mengekstrak jus limau dan mengasingkan biji benih cili," katanya.

Menurut Masniza, mesin berkenaan berupaya menghasilkan jus sitrus tanpa memecahkan biji yang menyebabkan jus berasa pahit.

Bagi mengasingkan biji benih cili, getah penggelek akan digantikan mengikut kesesuaian.

"Mesin ini dapat mengurangkan kos, menjimatkan masa dan tidak rumit jika dibandingkan proses secara manual.

"Jika sebelum ini ramai pekerja yang diperlukan, bau yang tidak menyenangkan, tugas yang rumit untuk proses mengasingkan biji benih cili," katanya.

Bagi memajukan dan mengenengahkan mesin dan peralatan pemprosesan makanan dan minuman kepada golongan sasar seperti IKS makanan, pengeluar dan pengedar mesin, pengeksport dan individu yang ingin menceburkan diri dalam industri makanan, MARDI dengan kerjasama agensi kerajaan dan badan profesional akan menganjurkan persidangan mekanisasi pertanian dan makanan peringkat kebangsaan.

Persidangan berkenaan akan diadakan pada 22 hingga 25 Jun di Hotel Renaissance, Melaka.

Sepanjang persidangan pelbagai teknologi dan mesin bagi pemprosesan makanan dan pertanian akan dibincangkan menerusi pembentangan kertas kerja dan pameran bagi memberi peluang kepada mereka yang berminat untuk meninjau lebih dekat.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Teknikal MARDI di talian 03-8941 8070, faksimile 03-8941-3512 atau: ncafm@mardi.gov.my.

Hasilkan mesin bantu petani

MELAKA 23 Jun - Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) disaran memberi tumpuan dalam menghasilkan mesin berteknologi tinggi bagi membantu golongan petani di negara ini meningkatkan pendapatan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, agensi itu juga perlu memastikan mesin yang dikeluarkan mampu dijual pada harga berpatutan serta mengurangkan kos pengeluaran.

"Kita mahu lebih ramai penyelidik MARDI menjalankan penyelidikan dalam menghasilkan jentera atau mesin yang boleh membantu petani meningkatkan hasil pertanian masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Mekanisme Pertanian dan Makanan Kebangsaan 2009 di sini hari ini.

Menurutnya, pada masa ini, MARDI berjaya mereka cipta sebanyak 110 mesin dan peralatan berteknologi moden untuk kemudahan petani.

Ujarnya, usaha itu penting untuk membolehkan golongan terbabit meningkatkan pengeluaran hasil pertanian dan makanan sekali gus membantu kerajaan mengurangkan pergantungan ke atas import makanan dari luar negara.

"Atas usaha itu juga, kita berjaya menghasilkan satu teknologi baru yang mana kesemuanya dikumpulkan dalam pangkalan data berbentuk cakera padat (CD) dan direktori.

"Teknologi tersebut dinamakan Ag-Food Machinery Dir bertujuan memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat mengenai mesin pertanian, pemprosesan makanan dan bukan makanan," kata beliau.

Friday, June 12, 2009

Program usahawan biotek jana pendapatan



Program keusahawanan yang diperkenalkan oleh Perintis memberi peluang kepada mereka yang berminat menceburi bidang pertanian.


Perintis Agrotech Centre (PAC), sebuah nama yang tidak diasing lagi dalam bidang pertanian mengorak langkah maju setapak lagi melalui syarikat Perintis Dagangan Sdn Bhd (PDSB), dengan melancarkan Program Usahawan Biotek (PUB) baru-baru ini sebagai usaha bantuan perniagaan dan pendapatan kepada para penternak dan petani.

Program tersebut bertujuan membantu golongan petani dan penternak yang tidak mempunyai pendapatan sokongan selain menunggu hasil sedia dituai serta membawa ilmu bioteknologi pertanian kepada mereka dengan kaedah lebih menjimatkan.

Program tersebut mengambil kira faktor peningkatan angka pengangguran di negara kita akibat kemelesetan ekonomi.

PUB merupakan satu rangkaian usahawan bioteknologi yang besar yang melakukan jualan secara berjemaah.

Rangkaian ini mengetengahkan konsep PDSB sebagai 'imam' manakala PUB sebagai 'makmum'.

PUB akan dipantau dan diajar ilmu-ilmu berkaitan bioteknologi untuk disampaikan kepada para penternak dan petani.

Menariknya, di bawah konsep berjemaah ini, selain menjana pendapatan hasil jualan individu, PUB turut berpeluang mendapat komisen atau bonus dari keseluruhan hasil jualan bulanan dari rangkaian PUB tersebut dari PDSB.

Ini sebagai sebahagian strategi PDSB menarik lebih ramai golongan petani, penternak, graduan dan belia menganggur menyertai program usahawan yang ditawarkan.

Petani, penternak perlu bijak mencari peluang mendapat 'wang saku' harian dan tidak semata-mata mengharapkan hasil tuaian semusim yang kadang-kala mengambil masa antara tiga atau enam bulan.

Lebih memeritkan, apabila hasil tanaman atau ternakan sedia dituai, berlaku penurunan harga, kerugian akibat kematian dan kerosakan atau hasil tidak dapat dipasarkan.

Oleh itu, PDSB yakin mereka perlu didedahkan dengan peluang untuk menjalankan aktiviti perniagaan sementara menunggu hasil sedia dijual.

Sekurang-kurangnya, petani dan penternak dapat mengguna sendiri produk bioteknologi pada harga yang rendah dan dapat menjual pada harga pasaran kepada petani dan penternak sekitar mereka sebagai wang saku harian.

Setakat ini, program usahawan biotek mendapat sambutan amat menggalakkan dari semua golongan.

Ini termasuklah penternak keli, penternak lembu dan kambing, petani, graduan, belia menganggur dan usahawan.

Mereka amat berpuas hati dengan rancangan perniagaan dan peluang pendapatan yang ditawarkan di bawah program ini.

PUB turut diajar cara mudah untuk menjana pendapatan sehingga RM700 bagi pendapatan sampingan serta mencecah RM5,000 sebulan bagi yang serius memasarkan produk biotek ini.

Ironinya, mereka dapat menambah pendapatan harian atau bulanan dengan modal permulaan yang amat rendah.

Promosi berterusan oleh PAC melalui media masa dan media cetak dilihat satu kekuatan utama PUB untuk memasarkan produk kepada pembeli. PUB hanya perlu memanjangkan promosi tersebut ke pengetahuan pembeli sewaktu membuat jualan.

Keistimewaan PUB:-

Selain memberikan margin keuntungan dari 20 peratus sehingga 87.5 peratus (mengikut jenis produk), PDSB turut memberikan beberapa insentif lain seperti bonus tahunan, komisen hasil jualan bulanan rangkaian PUB (bagi yang layak), sistem overiding, peluang melancong ke luar negara (jualan tertinggi) dan banyak lagi.

lKursus kaedah penggunaan bioteknologi pertanian akan diberikan secara percuma kepada PUB.

lPotongan sebanyak 70 peratus diberi kepada PUB bagi kursus-kursus agro tani seperti kursus pembenihan keli, pembenihan tilapia, lintah, cacing, serai dan lain-lain lagi.

lPaling mendapat perhatian, PUB yang layak berpeluang mendapat penambahan modal perniagaan sehingga RM30,000 untuk menyertai projek pertanian komersial di bawah PDSB melalui pembiayaan daripada koperasi.

Kekuatan Produk

Berbekalkan produk yang telah lama berada di pasaran dan kebanyakan pengusaha aktiviti pertanian telah mengenali PAC sekian lama.

Oleh itu, PUB tidak berdepan masalah besar untuk meyakinkan pembeli. Tambahan pula, produk-produk telah dihantar ke makmal Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk diuji kandungan dan tahap keberkesanannya.

Sebagai contoh, Produk Kit Pro Asli (kaedah dan pemakanan alternatif keli yang dapat menjimatkan tiga kali ganda berbanding kos 100 peratus pelet) telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Kebanyakan PUB dapat menjual kit Pro Asli dengan mudah.

Selain itu, turut mendapat permintaan tinggi adalah produk Bio-Waste (merawat sisa makan menjadi baja) sesuai untuk pasaran pengguna di rumah, Bio-Tani (booster penggalak pertumbuhan dan kesuburan tanaman komersial, bunga-bungaan dan sayuran) untuk petani, Bio-Ternak (booster penggalak tumbesaran ternakan komersial) untuk penternak lembu, kambing, ayam, puyuh, kuda dan banyak lagi.

Kerjasama dengan Koperasi

Bagi merealisasikan program ini, PDSB telah menjalinkan usahasama dan kerjasama dengan Koperasi Penternak dan Pengimpot Ternakan Malaysia Berhad (KOTERNAK), Koperasi Pengusaha Makanan Halal dan Industri Tani Selangor Berhad (KOPEM) dan Koperasi Usahawan dan Siswazah Mampan Selangor Berhad (KOSSEL) bagi tujuan pembiayaan modal perniagaan kepada PUB yang komited, prestasi jualan yang cemerlang dan melepasi beberapa kelayakan mudah.

Bagi melengkapkan pencarian 300 orang PUB pada tahun ini, PDSB merancakkan promosi dengan menjalankan promosi ke seluruh negara melalui siri jelajah.

Terdapat dua program usahawan yang telah dilancarkan iaitu PUB Kluster dengan modal sebanyak RM1,450 bagi golongan belia, graduan, petani dan penternak dan PUB Bestari dengan modal sebanyak RM2,900 bagi golongan usahawan dan bekerjaya.

Bagi mereka yang ingin mendaftar sebagai Peserta Program Usahawan Biotek ini bolehlah menghubungi talian 03-6187 3796 atau 019-6634527.

Sementara itu, Siri Bengkel Penternakan Keli Teknik Pro Asli diteruskan dan lokasi terbaru ialah di Dewan Majlis Perbandaran Sg. Petani, Tikam Batu pada 13 Jun ini bermula pukul 9 pagi hingga 1 tengah hari.

Bengkel ini akan mendedahkan perbandingan di antara dua teknik ternakan iaitu ternakan kaedah konvensional yang menggunakan makanan pelet 100 peratus dan ternakan kaedah pro-asli yang dapat mengurangkan kadar pemberian palet sehingga 70 peratus hingga 90 peratus atau tanpa palet mengikut skala ternakan yang dijalankan.

Bagi yang berminat untuk menyertai bengkel tersebut bolehlah menghubungi talian 03-6187 3796 dan 019-6634527.

MARDI raih kejayaan penyelidikan

Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sekali lagi mencipta sejarah dengan meraih kejayaan semasa Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi 2009 (I-Tex 09) yang berlangsung di Kuala Lumpur Mei lalu.

Institut berkenaan meraih 14 kemenangan dengan tiga pingat emas, lapan perak dan tiga gangsa selain anugerah Association of Polish Inventors and Rationalizers Prize dan empat anugerah Anugerah Produk Inovatif.

Antara ciptaan yang memenangi pingat emas adalah kajian inovatif mengenai tanaman padi iaitu MADOX Assisted High Clearance Mower, PaddyView - Paddy Output Analyser dan Box-leverer for large Scale Field Levelling yang memenangi anugerah Association of Polish Inventors and Rationalizers Prize.

Hasil penyelidikan yang memenangi pingat perak adalahkit mengesan Salmonella dengan segera Immuno-Dot-Blot Test Strip: A Rapid Diagnostic Kit for Detection of Salmonella.

Kajian mengenai cili bertajuk Semerah: Heating the World, kitaran nitrat iaitu Recycling HNO3 for Nitro Humic Acids (NHA) Production, mesin menggoreng keropok, Continuous Fryer for Stackable Crackers and Chips dan mesin serbaguna bagi jus dan pengasingan biji benih Versatile Machine for Juice Extraction and Seed Separation.

Dua lagi hasil penyelidikan yang memenangi pingat perak dan Anugerah Pingat Inovatif adalah mekanisasi yang memudahkan penuaian ubi keledek iaitu Flexi Snack Forming dan Sweet Potato Haverster.

Manakala mesin menuai kenaf bersepadu iaitu Intergrated Kenaf Haversting Machine berjaya mendapat pingat emas dan dua ciptaan Pedestrian Crop Harverster dan Fertikit.

Teknologi yang dihasilkan oleh para penyelidik MARDI diharap mampu memajukan sektor pertanian negara melalui peningkatan kualiti, mengurangkan kos serta keselamatan makanan.

Kemenangan yang dicapai oleh pihak MARDI menjadi pencetus untuk terus para penyelidiknya berusaha bagi mengkomersialkan teknologi serta memastikan ia digunapakai oleh golongan sasar yang terdiri daripada petani, penternak, nelayan serta usahawan makanan.

Sehingga kini, lebih tujuh peratus teknologi MARDI telah dikomersialkan dan digunakan oleh usahawantani seluruh negara.

Ini merupakan satu usaha melahirkan lebih ramai usahawan tani yang menggunakan teknologi tinggi.

Gunakan hasil pertanian segar


Norma othman menunjukkan logo SALM dan SOM yang terdapat di produk pertanian segar semasa kempen beli produk pertanian selamat dan bermutu.


Keselamatan makanan merupakan agenda terpenting dalam pembangunan sesebuah negara.

Sebagai pengguna, kita akan memastikan makanan yang diambil adalah berkualiti, selamat dan sesuai dimakan.

Justeru Jabatan Pertanian dengan kerjasama pasar raya besar Jaya Jusco melancarkan kempen membeli hasil pertanian segar dengan persijilan Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM) dan Skim Organik Malaysia (SOM).

Pengarah Bahagian Kawalan Kualiti Tanaman Jabatan Pertanian Malaysia, Norma Othman berkata, kempen berkenaan bertujuan memberi kesedaran kepada pengguna untuk memilih produk yang selamat dan bermutu.

Kempen berkenaan sedang berlangsung setiap hujung minggu di rangkaian pasar raya tersebut bermula dengan cawangan One Utama, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor.

"Sehingga kini sambutan yang diterima amat menggalakkan daripada pengguna yang semakin menyedari mengenai isu keselamatan makanan.

"Kini pihak kami merancangkan untuk meluaskan kempen ke rangkaian pasar raya besar Jaya Jusco seluruh Lembah Klang," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

Sebelum ini banyak rungutan dan aduan mengenai sisa baki racun perosak di sayur-sayuran dan buah-buahan terutama oleh negara pengeksport. Ini menyebabkan Jabatan Pertanian di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengeluarkan sijil akreditasi SALM dan SOM.

Sijil SALM diberikan kepada ladang-ladang konvensional yang mengamalkan Amalan Pertanian Baik (APB) manakala SOM pula diberikan kepada ladang organik selepas menjalani proses pemantauan dan pemeriksaan yang ketat.

Norma menambah, kini terdapat 235 ladang yang memperolehi SALM manakala hanya 24 ladang mendapat SOMdi seluruh negara.

Bagaimanapun tambah beliau sijil SALM dan SOM ini telah mendapatkan pengiktirafan negara luar bagi memudahkan hasil pertanian dieksport ke luar negara.

"Buat masa ini banyak produk hasil pertanian dengan sijil SALM dan SOM dieksport ke luar negara seperti Singapura dan Eropah," katanya.

Justeru pengguna semakin bijak dan mereka akan diberikan pilihan untuk memilih produk yang selamat dan berkhasiat untuk kesihatan.

Apa itu SALM?

SALM adalah skim persijilan yang dirangka oleh Jabatan Pertanian untuk memberikan pengiktirafan kepada ladang yang mengamalkan Amalan Pertanian Baik (APB).

Ia berkonsepkan mesra alam sekitar, menjaga kebajikan dan keselamatan pekerja bagi menghasilkan produk yang berkualiti, selamat dan sesuai dimakan.

Skim ini berpandukan Standard SALM dan berdasarkan Malaysian Standard MS 1784:2005 Crop Commodities - Good Agricultural Practices (GAP).

Apa itu APB?

APB adalah satu sistem pengurusan yang mengamalkan amalan-amalan pertanian yang baik dan dilaksanakan mengikut piawaian dan undang-undang atau peraturan bagi mengawal dan mengurangkan risiko dan impak kepada aktiviti pengeluaran pertanian.

Sistem pengurusan ini akan dapat meningkatkan produktiviti, menjaga keselamatan dan kebajikan pekerja, keselamatan makanan serta pemuliharaan alam sekitar.

Ini adalah antara usaha ke arah pembangunan pertanian lestari.

Apa itu SOM?

SOM adalah satu program persijilan untuk mengiktiraf pemilik ladang yang mengusahakan penanaman di ladang secara organik mengikut keperluan-keperluan yang ditetapkan dalam piawaian organik negara iaitu, MS 1529: 2001 The production processing, labeling and marketing of plant-based organically produced foods.

Skim ini memberikan tumpuan kepada pengeluaran, pengendalian termasuk pembungkusan, penyimpanan, pengangkutan dan jualan bahan makanan tanaman organik.

Rahsia epal Ba'Kelalan


EPAL Manalagi antara jenis epal Ba'Kelalan terbesar setakat ini.


MEMILIH sesuatu yang unik bukanlah laluan mudah untuk ditempuhi. Namun seorang warga emas di pedalaman Sarawak membuktikan setiap keazaman yang disulam usaha gigih pastinya membuahkan hasil.

Ketika penduduk lain gigih mengusahakan tanaman padi bukit, Tagal Paran atau lebih mesra dengan panggilan Pak Tagal memilih epal sebagai tanaman di tanah ladangnya di Ba' Kelalan, Miri.

Kini populariti ladang epal seluas tiga hektar yang diusahakannya sejak lebih 20 tahun lalu itu 'mengatasi' populariti beras Adan, beras berkualiti tinggi yang juga ikon produk dari penempatan suku kaum Lun Bawang itu.

Kejayaan tersebut menjadikan lelaki berusia 75 tahun itu sebagai individu 'terpenting' dan paling popular setiap kali masyarakat Ba' Kelalan menerima kunjungan pelawat.

"Tiada orang lain yang akan dicari, mereka semua mahu mendengar cerita epal daripada Pak Tagal," ujar salah seorang penduduk.

Setiap tahun, ribuan pelancong berkunjung ke Ba' Kelalan. Masa paling sibuk adalah ketika Festival Menuai Epal yang diadakan pada bulan Jun dan Disember setiap tahun.

Ba' Kelalan yang berada pada ketinggian kira-kira 1,000 meter dari aras laut itu mempunyai suhu rendah sepanjang tahun yang membolehkan epal dan tanaman seperti strawberi, anggur dan tomato hidup di situ.

Umum menyedari kewujudan epal di Ba' Kelalan tetapi tidak ramai yang mengetahui keistimewaan epal tempatan itu. Tidak kurang juga yang mengkritik dan mengatakannya tidak cukup saiz, tidak manis dan rupanya kurang menarik.

Tetapi bukan itu yang dipersetujui oleh 20 wakil media pada lawatan ke Rata Farm Sdn. Bhd. milik Pak Tagal semasa ekspedisi Isuzu Dura-Mission, baru-baru ini.

Pengalaman memetik dan menikmati kerangupan epal segar di ladang yang terletak bersebelahan dengan lapangan terbang kecil itu meninggalkan kenangan manis buat kami semua.

Hasil kaedah pertanian yang dipertingkatkan, empat jenis epal iaitu Manalagi, Tropikal, Anna dan Rome Beauty yang ditanam di situ hampir menyamai kualiti epal yang diimport.

Menurut Pak Tagal, sebanyak 1.5 tan epal dituai daripada 3,000 pokok epal pada setiap musim. Namun, jumlah itu hanya cukup untuk pasaran di sekitar Miri, Lawas dan Brunei.

''Permintaan sangat tinggi dan antara yang paling mendapat sambutan adalah epal jenis Manalagi kerana rasanya yang manis dan bau yang harum. Ia dijual pada harga RM10 sekilogram.

'Dari segi saiz epal di sini tidaklah terlalu kecil. Berat lebih kurang 200 gram sebiji dan yang paling berat pernah dituai adalah 500 gram,'' jelas Pak Tagal lagi.

Selain rasa yang sedap, keistimewaan epal Ba'Kelalan juga adalah kerana mempunyai dua musim sedangkan di negara-negara beriklim sejuk lain epal hanya berbuah sekali setahun.

Rahsianya melalui teknik 'musim sejuk tiruan' yang dilakukan dengan menanggalkan daun-daun pokok secara manual. Selepas daun 'digugurkan', pokok epal biasanya akan berbunga dan berbuah semula.

"Teknik ini hanya boleh dilakukan beberapa minggu selepas musim menuai,'' jelas beliau.

Selain itu, kelebihan epal Ba'Kelalan juga adalah kerana penggunaan racun serangga yang minimum, malah langsung tidak menggunakan pengilat lilin seperti kebanyakan buah -epal yang diimport.

Cuma cabaran utama pada masa kini adalah kerja-kerja pemasaran kerana kawasan itu bergantung kepada pengangkutan udara tiga kali seminggu (MASWings) manakala jalan darat hanya boleh dimasuki dengan pacuan empat roda.

Namun Pak Tagal percaya kedudukan Ba' Kelalan yang terletak bersebelahan dengan Sabah, berhampiran sempadan Brunei dan Indonesia menjadikan kawasan di sekitar tiga buah kampung di situ berpotensi untuk dikembangkan sebagai pusat tanaman epal.

''Sebenarnya kami masih menantikan jalan raya yang dapat menghubungkan kami dengan pekan terdekat iaitu Lawas atau Miri.

''Laluan darat yang dibina akan membantu merubah masa depan epal di Ba' Kelalan,"ujarnya penuh harapan.

Tambah beliau, sistem perhubungan yang baik juga dapat membantu memudahkan kajian dan penyelidikan dilakukan di situ. Buat masa ini, tugas menguruskan ladang bergantung kepada pengalaman dua pekerja Indonesia yang dibawa masuk dari Jawa Timur.

"Saya percaya banyak pihak di luar sana yang berminat untuk datang membuat kajian pertanian di sini," jelasnya sambil menuding jari ke arah sekumpulan pelajar yang berada di tengah ladang.

Bioindustri

Mereka adalah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Bioindustri, Universiti Putra Malaysia (UPM-Kampus Bintulu) yang sedang menjalani latihan praktikal selama dua bulan di Ba' Kelalan.

Salah seorang pelajar, G. Sivarajan M. Ganesan ketika ditemui berkata, projek perintis UPM itu bertujuan mengkaji aspek-aspek penting berkaitan penanaman epal di kawasan itu.

Kajian yang dilakukan termasuk pemeriksaan kesesuaian tanah, keamatan cahaya, kandungan klorofil daun dan mengenal pasti baka-baka yang terbaik.

Ujarnya, setiap anggota kumpulan dibahagikan tugasan tersendiri dan sebarang penemuan, perkembangan dan hasil kajian yang diperolehi dalam tempoh itu akan dibawa pulang ke makmal universiti untuk dianalisis pensyarah.

"Selain itu kami juga merekodkan jenis-jenis penyakit yang menyebabkan kecacatan dan kemerosotan pada pokok-pokok epal," jelasnya lagi.

Bagi Nur Atikah Mohd. Azman, 22, epal Ba' Kelalan mempunyai potensi untuk dikomersialkan secara meluas sekiranya mendapat suntikan teknologi pertanian yang berterusan.

Ujarnya, proses kacukan baka-baka yang sedia ada dengan baka liar atau baka dari luar negara pasti membawa kepada penghasilan baka yang lebih baik.

"Buat masa ini kacukan hanya dilakukan antara anak-anak pokok epal liar dengan empat baka sedia ada. Buah berkualiti terbaik biasanya hasil kacukan tiga jenis baka," jelasnya.

Bagaimanapun katanya, proses itu tidak akan tercapai dalam jangka masa yang singkat. Sebaliknya memerlukan penyelidikan dan kajian pertanian yang mendalam.

Walaupun terpisah jauh dari dunia luar, Nur Atikah dan rakan-rakan yang masih mempunyai masa sebulan di Ba' Kelalan mengakui kesempatan 'mengenali' pokok-pokok epal di situ sebagai pengalaman yang sangat berharga.

"Kami menghabiskan masa sepanjang hari di kebun epal Pak Tagal. Walaupun ladang ini tidaklah terlalu luas, tetapi banyak perkara yang boleh kami pelajari," akuinya.

Asal-usul epal di Ba' Kelalan

Menyelusuri sejarah epal di Ba' Kelalan menemukan Mega dengan Andrew Balang Paran atau lebih dikenali sebagai Pak Balang. Nama beliau terpahat sebagai individu yang bertanggungjawab membawa masuk epal ke tengah-tengah Kepulauan Borneo itu.

Menurut Pak Balang, segalanya bermula pada tahun 1974 semasa beliau melawat Batu Malang, Indonesia.

"Ketika berada di sana saya lihat pokok-pokok epal tumbuh segar dengan buah-buah yang ranum. Terlintas di fikiran untuk membawa pulang dan menanamnya di kebun saya.

"Kira-kira 10 pohon 'diseludup' melalui lapangan terbang Miri ketika itu. Puas juga saya memujuk pegawai kastam di lapangan terbang untuk 'melepaskan' pokok-pokok berkenaan ketika diperiksa," ujarnya.

Selepas beberapa tahun, epal yang ditanam dan dibaja dengan tahi lembu itu mula membuahkan hasil. Tetapi ketika itu buahnya agak kecil, masam dan pohonnya mudah diserang penyakit.

Bekas kakitangan kerajaan pertama di Ba' Kelalan itu sempat membiak kira-kira 300 pokok epal sebelum menyerahkan ladang berkenaan kepada abangnya sendiri, Pak Tagal, yang menguruskan ladang sehingga ke hari ini.

Menurut Pak Balang, tugas yang dipikul abangnya tidak mudah kerana pokok-pokok epal berada dalam keadaan tenat akibat diserang penyakit. Malangnya juga pada ketika itu, jabatan pertanian tidak dapat membantu kerana mereka tidak tahu apa-apa pasal epal.

Menyedari pokok-pokok epalnya berada dalam keadaan tenat, Pak Tagal kemudian berangkat ke Batu Malang untuk mempelajari kaedah penanaman epal secara lebih lanjut.

Kini, Pak Tagal tersenyum bangga di atas setiap keringat yang dititiskan ke tanah ladangnya. Harapan beliau adalah untuk melihat lebih banyak ladang epal dibuka di bumi Ba' Kelalan.

Fertigasi modul lengkap pertanian moden


Walaupun peringkat awal projek ini melibatkan kos yang agak tinggi bagi menyiapkan segala infrastruktur, namun ia berbaloi kerana kelengkapan tersebut boleh bertahan untuk tempoh masa 10 hingga 15 tahun
- Zainal Abidin


SANA sini orang memperkatakan tentang teknik penanaman moden menggunakan kaedah fertigasi yang semakin mendapat sambutan menggalakkan.

Kelihatan agak mudah, namun mengaplikasikan teknik penanaman tersebut tanpa mendapat bimbingan lengkap mengenainya mungkin akan memberi kesukaran kepada pengusahanya.

Justeru, bagi memberi peluang kepada individu mempelajari teknik tersebut dengan lebih terperinci, Utusan Malaysia dengan kerjasama Agrobank dan syarikat konsultan, Malayan Agro Consult Sdn. Bhd. (Mayconsult) telah menganjurkan Bengkel Usahawan Fertigasi Bersama MEGA pada 29 Mei lalu.

Seperti sebelum ini, penganjuran bengkel yang masuk kali ketujuh itu terus mendapat sambutan memberangsangkan daripada masyarakat.

Pengurus Pusat Latihan Agrobank, Abdul Shukor Abdul Jabbar berkata, kursus tersebut sememangnya popular di kalangan mereka yang berminat untuk memulakan projek fertigasi.

''Kursus ini popular kerana memberi fokus kepada penyampaian pengetahuan dan maklumat mengenai teknologi penanaman secara moden.

''Apa yang menarik, para peserta akan didedahkan dengan modul penanaman secara menyeluruh bermula dari peringkat penanaman sehinggalah dipasarkan,'' katanya ketika merasmikan bengkel tersebut di Kajang, Selangor baru-baru ini.

Selama tiga hari, para peserta akan mendapat bimbingan tanaman secara teknikal dan praktikal, didedahkan dengan perancangan perniagaan, motivasi, khidmat nasihat serta pemasaran.

Menurut Abdul Shukor lagi, pihaknya menerima permohonan di luar jangkaan menerusi medium pendaftaran yang disediakan iaitu dari laman web Utusan Malaysia dan melalui pihak Mayconsult sendiri.

Kesemua mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti golongan profesional, pelajar dan juga petani yang datang bukan sahaja dari Lembah Klang malah dari negeri-negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Pengarah Urusan Mayconsult, Zainal Abidin Yahya berkata, sambutan menggalakkan yang diterima itu adalah disebabkan orang ramai telah mula menyedari tentang kelebihan teknik tanaman fertigasi.

''Para petani sekarang mahu beralih dari teknik pertanian tradisional kepada fertigasi kerana risikonya dapat dikawal selain memberikan hasil yang tinggi.

''Walaupun peringkat awal projek ini melibatkan kos yang agak tinggi bagi menyiapkan segala infrastruktur, namun ia berbaloi kerana kelengkapan tersebut boleh bertahan untuk tempoh masa 10 hingga 15 tahun,'' katanya.

Dari segi bantuan kewangan pula, pihak Agrobank turut menawarkan pinjaman modal galakan sebagai pembiayaan awal jika para peserta berminat memulakan projek berkenaan.

Bagi mendedahkan peserta dengan teknik penanaman dengan lebih terperinci, mereka juga akan di bawa melawat tapak tanaman fertigasi yang berjaya terletak Jalan Kebun, Klang.

''Selain cili, teknik tanaman ini sesuai digunakan untuk tanaman seperti tomato, rock melon dan terbaru adalah halia,'' jelasnya.

Sejak kali pertama dianjurkan pada 23 Januari 2009, bengkel berkenaan telah berjaya melatih seramai lebih 210 orang peserta.

Daripada jumlah itu, lebih kurang 30 peratus daripada mereka telah pun memulakan projek tanaman secara komersial.

''Mereka yang telah memulakan projek akan dibantu dari semasa ke semasa di mana khidmat nasihat akan diberikan jika mereka menghadapi sebarang masalah,'' katanya.

Sebagai inisiatif membentuk satu komuniti berkaitan bidang fertigasi, para peserta yang bengkel itu telah menubuhkan persatuan mereka sendiri yang diberi nama Persatuan Usahawan Fertigasi Malaysia (PUFM) bagi tujuan berkongsi maklumat dan kemudahan berkaitan projek masing-masing.

Menurut Pengerusinya, Misri Saliman, setakat ini, persatuan tersebut telah mempunyai lebih 90 orang ahli berdaftar yang terdiri daripada pengamal, pembekal dan usahawan fertigasi.

''Kita mahu jadikan persatuan ini sebagai pusat utama mendapatkan maklumat berkaitan fertigasi seperti bekalan baja, benih, peralatan, pemasaran dan sebagainya.

''Kita juga mempunyai saintis yang sentiasa menjalankan penyelidikan terbaru mengenai fertigasi di mana maklumat mengenainya akan di salurkan kepada ahli-ahli dalam usaha membantu mereka mengurangkan kos projek dan meningkatkan hasil,'' katanya.

Saturday, May 30, 2009

Projek Kelompok Jaya

Persatuan Nelayan Kawasan Tumpat, Kelantan
Jalan Hilir Pasar, 16200 Tumpat, Kelantan.
Pengerusi : Encik Hussain @ Abdullah bin Omar
Ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Berang, Terengganu.

Projek Kelompok Kg. Belukar Juling ini terletak di Mukim Padang Endau, Daerah Mersing, Johor kira-kira 75 km dari Mersing dan 224 km dari Johor Bahru. Projek kelompok ini telah ditubuhkan pada 24 Jun 1999. Peserta-peserta telah mengeluarkan modal sendiri sebanyak RM86,955 dari tahun 1999 hingga 2002. Projek Kelompok ini merupakan salah satu daripada 4,593 projek kelompok dibawah bimbingan Jabatan Pertanian dan telah mendapat MS ISO 9002 *PPPB (*Perkhidmatan Pengembangan Perladangan Berkelompok) pada tahun 2002

Projek kelompok ini mempunyai keluasan fizikal seluas 4 hektar, di mana telah diusahakan oleh tiga orang peserta. Kawasan yang diusahakan ini adalah kawasan tanah persendirian di mana jawatankuasa projek kelompok telah menyewa dengan kadar RM70/ekar setahun. Projek ini merupakan salah satu unit pengeluar tanaman makanan seperti sayuran jenis buah secara berterusan untuk menampung pasaran di Johor Bahru dan Singapura.

Bagi menjadi sebuah ladang pengeluaran makanan yang berterusan, kelompok ini menjadikan produktiviti sebagi agenda utama untuk mencapai sebuah projek kelompok yang berdaya maju dan komersial. Jika dilihat pada rekod produktiviti yang lepas, hasil ladang telah meningkat daripada 42 tan pada tahun 2000 kepada 51 tan dalam tahun 2001.

Dalam tahun 2002 pula, projek kelompok ini telah mengeluarkan hasil sebanyak 170 tan, di mana purata pengeluaran hasil ladang mencapai 0.5 tan sehari. Nilai pengeluaran hasil tersebut berjumlah RM322,207 di mana nilai pengeluaran sehektar telah mencapai ke tahap RM83,050/tan tahun. Kos pengeluaran bagi projek ini berjumlah RM118,435 merangkumi upah empat orang pekerja tetap yang dibayar RM450 sebulan setiap setiap seorang. Purata pendapatan bersih peserta projek kelompok ini adalah RM5,660 sebulan.

Pencapaian hasil yang tinggi terutama dalam tanaman peria yang telah mencapai hasil ladang sebanyak 34/tan hektar berbanding dengan hasil potensi tanaman tersebut 20/tan hektar dimana menunjukkan bahawa projek kelompok ini menggunakan teknologi terkini dalam amalan pertanian melalaui penggunaan sistem pengairan titis (drip), sistem tanaman secara berpara ‘trellis’ dan sungkupan plastik ‘silvershine’, penggunaan jentera seperti traktor untuk penyediaan tanah, amalan pengurusan makhluk perosak bersepadu (IPM-Integrated Pest management) seperti penggunaan pelekat biru dan kuning serta perangkap serangga yang menggunakan melthyl eugenol, mengamalkan pertanian yang baik (GAP-Good Agricultural Practise) dan mengikut pakej teknologi yang disyorkan oleh Jabatan Pertanian.

Kelompok ini dapat mencapai sasaran mereka dari segi pengeluaran dan nilai hasil yang tinggi. Misi seterusnya bagi kelompok ini adalah untuk mencapai satu lagi tahap pengeluaran produk yang berkualiti dan selamat. Justeru itu, pada awal tahun 2003, projek kelompok ini telah mendaftar ke dalam program skim akreditasi ladang di mana hingga kini telah berada di peringkat akhir pemeriksaan sebelum diberikan Sijil SALM ( Skim Akreditasi Ladang Malaysia).

Pada keseluruhannya, Projek Kelompok Sayuran Kg. Belukar Juling ini merupakan sebuah projek kelompok contoh yang boleh menjadi model kepada kelompok yang lain dari segi produktiviti yang tinggi di mana pengurusan projek kelompok dijalankan dengan sistematik terutamanya dalam menggunakan kaedah amalan pertanian yang baik dan betul bagi memastikan hasil potensi tanaman yang diusahakan memberikan pulangan yang menguntungkan.

Unit Peladang Jaya

Unit Peladang Kg. Melayu Raya
Peladang Kawasan (PPK) Pontian Selatan, Johor.

Unit Peladang Kg. Melayu Raya merupakan salah sebuah daripada Unit Peladang di bawah pengendalian Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pontian Selatan, Johor. Unit ini ditubuhkan pada 22 Februari 1970 dan sehingga kini, keahliannya seramai 101 orang. Jumlah saham terkumpul ahli di PPK Pontian Selatan ialah sebanyak RM18,198 meningkat 10.9% daripada tahun sebelumnya (2001). Purata saham bagi setiap ahli ialah RM180.

Unit Peladang Kg. Melayu Raya merupakan sebuah unit yang dipilih khusus untuk dibangunkan oleh LPP di bawah Program Pembangunan Unit Peladang (FDU) (2001-2005). Unit Peladang Kg. Melayu Raya menjalankan aktiviti utamanya iaitu kelapa sawit di kawasan seluas 490 hektar. Peserta-peserta mendapat khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian. Isipadu perniagaan kelapa sawit pada tahun 2002 ialah RM 2,730,000 dimana hasil pendapatan bersihnya ialah RM1,400,000.

Selain dari penanaman kelapa sawit, unit peladang ini mengusahakan tanaman pokok getah seluas 20 hektar dan dusun buah-buahan seluas 245 hektar yang telah ditanam dengan pelbagai jenis tanaman seperti durian, dokong, rambutan, manggis dan sebaginya. Aktiviti ini menjana hasil sebanyak RM708,000 setahun.

Selain dari itu, unit peladang mengusahakan pertanian jangka pendek iaitu ternakan kambing susu sebanyak 40 ekor, lembu pedaging sebanyak 180 ekor dan enam buah kolam ikan air tawar. Di samping itu mereka turut mengusahakan sebuah pusat memproses ayam daging. Aktiviti ini menjana pendapatan bersih sebanyak RM49,700 setahun.

Di samping melaksanakan aktiviti pertanian, unit peladang turut melaksanakan aktiviti-aktiviti bukan pertanian. Antara projek yang diusahakan ialah makanan ringan, pengangkutan bas sekolah, pengangkutan lori, perusahaan cadar, jahitan, kedai runcit, perusahaan membuat hulu dan parang dan perusahaan jamu. Pada tahun 2002 aktiviti ini menyumbang kepada pendapatan bersih sejumlah RM286,502 setahun. Secara keseluruhannya isipadu perniagaan dari aktiviti pertanian dan bukan pertanian unit peladang ini adalah sebanyak RM6,862,202 dan menjadikan nilai jualan bersih keseluruhannya RM1,736,202.

Selain dari aktiviti ekonomi, unit peladang ini telah berjaya melaksanakan lapan daripada sepuluh perkhidmatan untuk peladang iaitu pengurusan dan pembangunan sumber manusia, mekanisasi dan automasi ladang, perkhidmatan pemasaran, menyediakan infrastuktur ladang, memberikan khidmat nasihat, perkhidmatan lepas tuai, menyediakan pusat sumber untuk kegunaan ahli serta terlibat dengan teknologi pemprosesan. Di samping itu unit peladang menjalankan aktiviti sosial dan kebajikan untuk ahli-ahli seperti kelas agama, gotong royong, ceramah-ceramah motivasi, hari keluarga, kenduri kesyukuran, kursus-kursus dan menyediakan kemudahan IT Desa.

Unit ini telah menerima anugerah Unit Peladang Jaya Tempat Pertama Peringkat Negeri, Tempat Pertama Desa Cemerlang Peringkat Daerah & Negeri pada tahun 2001 dan 2002, Tempat Ketiga Desa Cemerlang Peringkat Kebangsaan, Ilham Desa Cemerlang Tempat Ketiga Peringkat Zon Timur/Selatan dan Dapor Sihat / Anugerah Gaya Hidup Sihat pada tahun 2001.

Sesungguhnya dengan mengamalkan konsep bekerjasama dan lebih dari 85% ahli-ahlinya yang aktif, Unit Peladang Kg. Melayu Raya telah bergerak maju dari tahun ke tahun sehingga membawa kejayaan di mana purata pendapatan setiap ahli ialah RM1400/bulan.

Usahawan Udang Jaya Lelaki

Encik Abu Bakar bin Ahmad, berusia 42 tahun, berasal dari Kampung Padang Lebar, Jempol, Negeri Sembilan. Beliau mendapat pendidikan formal sehingga tingkatan lima. Encik Abu Bakar dikurniakan dengan enam orang anak (dua lelaki dan empat perempuan). Tiga daripada anak beliau telah tamat persekolahan dan bekerja bersama-sama beliau, manakala tiga orang lagi masih bersekolah.

Selain daripada giat mengusahakan tanah beliau, Encik Abu Bakar juga giat dalam persatuan di kampung tersebut. Beliau merupakan Ketua Kampung Bayai Baru, beliau juga adalah Ketua Umno Cawangan Bayai Baru, pengerusi tadika Kampung Bayai Baru, Ahli Jawatan Kuasa Masjid Kampung Bayai Baru dan Ahli PPK Batu Kikir.

Beliau memulakan kerjaya hidupnya sebagai seorang peniaga getah dan kontraktor pada tahun 1991 hingga 1994. Hasil dari perniagaan ini beliau berjaya mengumpul modal sebanyak RM100 ribu untuk menjalankan ternakan ikan air tawar di projek pertanian Negeri Sembilan Timur. Terdapat empat buah kolam yang bersaiz 0.4 hektar, kolam tersebut asalnya adalah kolam terbiar yang telah dipulihkan oleh beliau.

Pada penghujung tahun 1999, Encik Bakar telah mula mengusahakan Projek Ternakan Udang Galah. Projek tersebut terletak di daerah Jempol yang meliputi kawasan seluas 2.88 ha. Sebanyak 16 buah kolam telah di bina untuk ternakan Udang Galah. Tanah tersebut adalah hak milik beliau sendiri.

Berbekalkan modal sendiri sebanyak RM80 ribu dan bantuan dari Pejabat Daerah Jempol dan Jabatan Perikanan, jalan asas, kemudahan eletrik ke kawasan projek dan pembinaan kolam telah disiapkan, ini termasuk modal untuk memulakan operasi seperti membeli benih dan makanan udang. Beliau memperolehi bekalan benih dari Jabatan Perikanan dan syarikat swasta di Melaka

Projek ternakan Udang Galah yang diusahakan oleh Encik Abu Bakar mengeluarkan hasil sebanyak 4 – 5 tan metrik dalam satu pusingan. Satu pusingan biasanya mengambil masa 3 – 6 bulan. Kadar hidup Udang Galah adalah lebih kurang 50 peratus. Penukaran makanan kepada ikan adalah sebanyak 1.5 kg makanan kepada 1 kg berat udang yang dihasilkan. Beliau memberi makanan rumusan ‘pellet’ dan makanan sampingan beliau hasilkan sendiri. Udang dipasarkan secara borong, runcit dan kepada pengusaha kolam pancing. Encik Abu Bakar juga merupakan pembeli kepada penternak kecil udang di kawasan sekitarnya. Beliau juga menggunakan ternik-teknik dan pengalaman beliau untuk memberi nasihat kepada penternak Udang Galah kecil-kecilan yang sering mengunjungi beliau untuk nasihat.

Beliau menggunakan sistem ‘blower’ di kolam udang untuk memastikan udang bersalin kulit serentak bagi mempercepatkan tumbesaran dan memudahkan pemasaran. Hanya baka jantan sahaja diternak kerana ia mempunyai tumbesaran yang cepat. Dari segi amalan pengurusan yang baik, beliau sentiasa mengawal kualiti air di dalam kolam supaya parameter air berada dalam keadaan yang paling optima untuk tumbesaran udang, kolam beliau mempunyai aliran keluar masuk air yang berasingan untuk memastikan tiada pencemaran air.

Beliau juga mementingkan kebersihan dan keindahan kolamnya di mana terdapat lanskap yang menarik di sekitar kawsan ternakan. Semua aktiviti ternakan dicatat, direkod dan dikemaskini. Sumber air yang digunakan adalah daripada air bukit yang berterusan dan tiada pencemaran.

Pada bulan Februari 2003, dengan modal sebanyak RM30 ribu dan bantuan Jabatan Perikanan, Encik Abu Bakar maju setapak lagi dengan mengusahakan projek hatcheri seluas lebih kurang ½ ekar dengan kapasiti antara 800 ribu hingga 1 juta ekor sepusingan. Beliau memulakan projek hatcheri disebabkan masalah kekurangan benih Udang. Beliau telah menghantar salah seorang daripada anaknya mengikuti kursus di Pusat Pengeluaran dan Penyelidikan Benih Udang Kebangsaan (PPPBUK) di Pulau Sayak, Kedah bagi mendapatkan kemahiran teknik pembenihan Udang Galah.

Hatcheri tersebut menggunakan teknologi sistem air pusingan untuk menjimatkan kos. Air yang telah digunakan akan dirawat semula untuk digunakan kembali. Bekalan air masin diambil daripada Kuala Sungai Baru, Melaka. Hatceri dilengkapkan dengan pemanas dan lampu untuk keperluan benih udang.

Selain daripada aktiviti akuakultur, beliau juga mengusahakan projek tanaman kebun sayur untuk menambah pendapatannya. Usaha-usaha ini dibantu oleh anak-anaknya serta beberapa orang pekerja Indonesia dan tempatan yang diambil secara sah.

Pada masa akan datang beliau akan cuba meningkatkan kadar peratus hidup udang kepada 80 peratus. Beliau juga merancang untuk mencari kawasan baru untuk menambah kolam serta membesarkan hatcheri. Encik Abu Bakar juga bercadang untuk memasarkan sendiri Udang Galah ke luar negara.

Usahawan Penternak Jaya

En Arifin bin Mustafa, berusia 39 tahun mula terlibat dalam penternakan lembu pedaging secara kecil-kecilan pada tahun 1985. Beliau memelihara 5 ekor lembu yang dibeli secara ansuran daripada penternak tempatan. Dari tahun ke tahun, beliau mengembangkan projek ternakan lembu sehingga mencapai 400 ekor pada tahun 1988. Lembu-lembu peliharaan dipasarkan secara jualan hidup disamping jualan karkas lembu yang disembelih di Rumah Sembelih Jabatan Perkhidmatan Haiwan di Shah Alam, Selangor.

Pada tahun 1992, Arifin Mustafa mendapatkan pula bekalan lembu yang diimport dari Australia daripada beberapa pengimport. Dengan khidmat nasihat Jabatan Perkhidmatan Haiwan Selangor, beliau mengusahakan projek pengemukan lembu-lembu import Australia secara sistem fidlot di Bukit Kapar, Klang untuk menambah nilai kualiti daging yang dipasarkan. Melihat kepada potensi bidangusaha ini yang lebih menguntungkan, beliau terus mengembangkan projek ternakan lembu fidlot menggunakan lembu import Australia. Bagi mendapatkan bekalan lembu yang lebih terjamin, beliau mula mengimport sendiri lembu dari Australia dengan modal permulaan sebanyak RM 320,000 pada tahun 1995.

Permintaan yang tinggi serta peluang pasaran yang semakin meningkat memberi keyakinan kepada Arifin Mustafa untuk mengembangkan perniagaan. Pada tahun 1997 dengan bantuan kewangan sebanyak RM 1 juta daripada Malayan Banking Berhad, beliau meningkatkan bilangan pengimportan lembu dari Australia. Seterusnya pada tahun 1998, beliau membina kandang fidlot yang lebih besar dan moden di tanah seluas 3 hektar di Kampung Bukit Hijau, Jeram Selangor. Ladang fidlot Bukit Hijau ini mempunyai kapasiti maksimum sehingga 2,000 ekor lembu. Pada tahun 2000, beliau meningkatkan kemudahan infrastruktur ladang mengikut keperluan dan garispanduan pengamalan penternakan yang baik (GAHP) dari aspek biosekuriti dan kawalan penyakit. Arifin Mustafa sekali lagi mendapat kepercayaan Malayan Banking Berhad dengan bantuan kewangan sebanyak RM 2 juta.

Sistem penternakan fidlot menggunakan lembu-lembu import Australia diusahakan secara intensif sepenuhnya pada berat awal sekitar 250 – 280 kg. Lembu digemukkan dengan memberi makanan PKC sebanyak 7.5 – 8.2 kg seekor sehari untuk tempoh selama 100 hari. Dengan purata kenaikan berat badan antara 1.0 – 1.2 kg sehari, beliau memasarkan lembu fidlot apabila mencapai berat badan sekitar 350 – 400 kg. Bidangusaha ini yang dilaksanakan secara komersil membolehkan beliau memperolehi keuntungan yang optimum dan pulangan pendapatan yang lumayan. Beliau mengaji seramai 20 orang pekerja untuk membantu pengurusan di ladang fidlot Bukit Hijau.

Arifin Mustafa merupakan seorang usahawan penternak yang kreatif dan inovatif. Beliau memaksimumkan hasil pengeluaran ladang fidlot sepenuhnya. Disamping penjualan lembu hidup dan karkas, beliau juga menjual/mengeksport belulang (kulit lembu) ke Thailand serta menjual bahan kumbahan ladang (najis lembu) kepada kilang pemprosesan bahan getah dan sebagai baja kompos. Selain mengusahakan ternakan lembu fidlot, beliau juga mengimport dan memasarkan unta hidup untuk tujuan penyembelihan, disamping projek tanaman pisang di kawasan seluas 3 hektar bersebelahan ladang fidlot.

Bersesuaian dengan galakan Kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran makanan negara, Arifin Mustafa merancang untuk mengusahakan projek ternakan kambing pedaging yang sedang dalam peringkat 50% pembinaan kandang, projek ternakan lembu integrasi di Batang Berjuntai, membina kilang memproses makanan lembu fidlot serta membangunkan rumah sembelih lembu dan pusat pemprosesan karkas/keratan daging lembu.

Hasil pendapatan daripada bidangusaha ternakan lembu fidlot membolehkan Arifin Mustafa menambah pelaburan serta memiliki harta termasuk ladang sawit seluas 12 hektar, ladang pisang dan buahan seluas 3 hektar, 10 unit rumah, 4 unit kedai, 5 buah lori, 5 buah kereta dan 10 motosikal. Beliau pernah menerima beberapa penganugerahan seperti Usahawan Jaya Negeri Selangor tahun 1996, Anugerah “Biggest Buyer” daripada ladang pengeksport lembu Australia dan Usahawan Penternak Jaya Negeri Selangor tahun 2003. Beliau juga bergiat aktif dalam beberapa pertubuhan termasuk ahli RELA, ahli Persatuan Penternak Ruminan Negeri Selangor dan Ahli Pertubuhan Peladang Kawasan Klang

Ternak udang galah Risda manfaat tanah terbiar

SEBANYAK 388, 640 ekor anak benih udang galah dilepas ke dalam sepuluh buah kolam di Pusat Ternakan Udang Galah milik penuh Koperasi Pertubuhan Kecil Daerah Baling yang dikawal selia oleh pihakRisda (Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Negeri Kedah. Ternakan udang galah menjadi perhatian masyarakat setempat sejak akhir ini kerana industri ini mendatangkan keuntungan yang memberangsangkan. Setakat ini belum ada lagi agensi lain yang berjaya ketengahkan industri ini secara besar-besaran. Udang galah mempunyai nilai tinggi di pasaran dan kurang saingan.

Pengarahnya, Tuan Haji Abu Bakar Baharom berasa amat berbangga dengan pencapaian yang diterokai oleh pihaknya merupakan sumbangan kakitangan dengan kerjasama pekebun kecil. Ini kerana peranan Risda adalah untuk meningkat taraf pendapatan penduduk disamping berusaha mencapai objektif Risda yang dilancarkan awal tahun ini.

Sehubungan itu, kejayaan projek ini telah membuka minda pekebun kecil agar merebut peluang supaya tidak ketinggalan dalam menopoli kepesatan ekonomi negeri ini. Malah ianya membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat khususnya kepada penduduk Kampung Banggol Asam Jawa. Projek ini hanya fokus kepada pekebun kecil termiskin dalam skim Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) dan bertujuan untuk membantu para pekebun kecil dalam peningkatan serta perubahan taraf hidup mereka.

Sejumlah 65 peserta PPRT dari daerah itu, dengan peruntukan sebanyak RM 646,000, telah memulakan projek ini ke arah membasmi kemiskinan. Lokasi yang strategik iaitu Kampung Banggol Asam Jawa Mukim Pulai, Baling menjadi pilihan pihak RISDA agar ternakan yang dilaksanakan lebih selamat dan sempurna. Kawasan ini merupakan tanah terbiar yang disewa dalam jangka masa sepuluh tahun yang diambil daripada penduduk setempat.

Kemudahan air untuk kolam datangnya dari mata air Lata Bayu. Kawasan ini hanya 300 meter dari jalan raya utama yang menghubungkan pekan Baling dengan pusat ternakan tersebut. Ini memudahkan proses pemasaran hasil ternakan udang galah nanti. Kawasan tanah sawah terbiar seluas 9.7424 hektar yang dibangunkan pihak Risda menyumbang kepada pembangunan tanah berkenaan. Kawasan seluas ini telah berjaya dibangunkan sebanyak 22 buah kolam. Dan sepuluhdaripadanya telah beroperasi pada akhir tahun 2002. Operasi penetasan udang bermula sejak akhir tahun 2001 lagi. Sehingga kini anak-anak udang berkenaan telah berusia 80 hari dijangka dituai dan dipasarkan pada awal Febuari 2002. Pasaran udang galah ini difokuskan untuk Tahun Baru Cina memandangkan daya tarikan untuk perayaan amat mengalakkan. Kajian yang rapi telah dilakukan oleh pihak Risda dan diuruskan sepenuhnya oleh Koperasi Pertubuhan Kecil Daerah Baling. Sumbangan yang bernas oleh pihak Risda sewajar menyambut seruan kerajaan negeri dalam mencapai impian Kedah Maju 2010 yang diwar-warkan oleh Menteri Besar Kedah. Selaras dengan itu sumbangan pihak Risda terhadap kerajaan negeri.

20a.jpg
Antara kolam udang galah milik RISDA.

20b.jpg
Udang galah berjaya ditangkap dari kolam udang yang telah dilepaskan hujung tahun lalu. Usia masih muda lagi…

20c.jpg
Kakitangan penyeliaan Projek Udang Galah, tekun memrhati seorang kakitangan yang cuba menjala udang galah.

Perak tingkat penghasilan ikan

TELUK INTAN 30 Mei - Perak akan mempergiatkan usaha meningkatkan penghasilan ikan bagi menampung permintaannya yang tinggi setiap tahun.

Pengarah Perikanan Perak, Sani Mohd. Isa berkata, sepanjang tahun lalu, sektor perikanan laut di negeri ini menghasilkan sebanyak 240,000 tan metrik menerusi 7,500 buah bot nelayan.

''Jumlah berkenaan merupakan 25 peratus daripada pendaratan ikan laut seluruh negara.

''Bagi sektor akuakultur, Perak menyumbang sebanyak 35 peratus keluaran atau 75,000 tan metrik daripada jumlah keseluruhan tahun lalu," katanya ketika ditemui selepas majlis pelepasan 20,000 benih udang galah ke perairan umum di Sungai Batang Padang, di sini hari ini.

Sani berkata, antara langkah meningkatkan stok ikan di perairan umum termasuk sungai dan tasik, Jabatan Perikanan menjalankan program pelepasan benih secara berkala di beberapa kawasan yang dikenal pasti.

Sementara itu, katanya, sebanyak 10 juta bekalan benih udang galah diperlukan setiap tahun namun pihak jabatan hanya mampu mengeluarkan sekitar sejuta ekor.

Sani berkata, sebanyak lapan pengusaha benih udang swasta yang terdapat di negeri ini masih belum mampu memenuhi jumlah bekalan tersebut.

Sehubungan itu, katanya, Jabatan Perikanan mengalu-alukan orang ramai menceburi bidang berkenaan kerana ia memberi pulangan tinggi kepada mereka.

''Bagi memastikan bekalan induk udang liar di perairan negeri berpanjangan, pihak jabatan akan meneruskan program pelepasan benih ke perairan seperti yang dibuat hari ini," katanya.

Friday, May 29, 2009

Minyak kelapa dara Sungai Besar


Natharuddin berbangga dengan minyak kelapa dara yang dihasilkan sendiri.


Khasiat minyak kelapa dara sememangnya telah tersebar bukan saja di kawasan Asia tetapi ke seluruh dunia.

Kelapa dulunya sering dikaitkan dengan kolestrol kerana dibayangi pelbagai keburukan yang memudaratkan kesihatan.

Kini minyak kelapa dara menjadi rebutan kerana khasiatnya yang telah diiktiraf secara saintifik.

Meninjau potensi minyak kelapa dara yang boleh berkembang lebih jauh, Natharuddin Jamaluddin, 51, mengambil inisiatif mempelajari kaedah memproses minyak kelapa dara.

Beliau mula meminati minyak kelapa dara selepas melawat beberapa pameran pertanian berhampiran Sungai Besar, Selangor.

"Selepas itu saya mula mengikuti kursus kaedah menghasilkan minyak kelapa dara yang diadakan oleh Pusat Latihan Pertanian di Serdang, Selangor," katanya semasa ditemui di Pusat Pemprosesan Minyak Kelapa Dara, Pejabat Pertanian Batu 39, Sungai Besar, Selangor.

Sementelah itu harga kelapa adalah rendah dan boleh didapati dengan banyak, menyebabkan beliau menjalankan usaha menghasilkan minyak kelapa dara sepenuh masa.

Bagaimanapun, perniagaan yang dijalankan sebaik tamat habis kursus itu menyebabkan Natharuddin mengalami kerugian.

"Ketika itu saya banyak membuat eksperimen dan belum lagi mahir dalam kaedah pemprosesan yang betul.

"Walaupun telah menjalani kursus, membuat sendiri memerlukan keazaman yang kuat untuk berjaya," katanya.

Natharuddin berkata, bagi menghasilkan minyak kelapa dara memerlukan kelapa yang betul-betul tua atau telah gugur.

Menurutnya, apa saja jenis kelapa boleh digunakan asalkan sudah cukup matang atau tua.

Bagi menghasilkan satu liter minyak kelapa dara, Natharuddin memerlukan 10 hingga 20 biji kelapa.

Kelapa yang telah siap diparut akan diperah untuk diambil santannya dan ditambah air paip dengan nisbah 1:1.

Santan tadi akan ditambah dengan lapisan minyak kelapa dara dan disimpan selama lapan hingga 15 jam pada suhu bilik.

"Minyak kelapa dara yang diletakkan di atas lapisan santan tadi bertindak sebagai 'umpan' atau pemangkin dalam penghasilan minyak kelapa dara," katanya.

Selepas 15 jam akan terdapat tiga lapisan dengan lapisan minyak kelapa dara di tengah-tengah.

Lapisan minyak tadi akan diasingkan dan ditapis menggunakan kertas turas atau tisu dengan kapas.

Selepas itu hasil turasan akan dibekukan bagi mengasingkan getah kelapa yang menyebabkan bau tengik.

Selepas minyak tadi cair, ia akan dituras dua kali lagi dengan menggunakan lapisan kapas lebih ketat yang mengambil masa lebih kurang lima hari.

"Biasanya proses menghasilkan minyak kelapa dara mengambil masa lebih kurang seminggu," katanya.

Natharuddin berkata, secara purata beliau boleh memproses sehingga 200 biji kelapa sehari bagi menghasilkan 10 liter minyak kelapa dara bergantung kepada permintaan.

Mengenai pasaran, beliau menjalankan pemasaran secara kecil-kecilan dan menerusi ekspo dan pameran.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan minyak kelapa dara Natharuddin boleh menghubunginya di 019-2991347.

Teknik fertigasi semakin popular

Walaupun teknik tanaman secara fertigasi telah agak lama diketahui tetapi masih ramai petani yang belum lagi mencubanya dalam skala komersial.

Ramai yang mendakwa fertigasi memerlukan kos yang besar dan memerlukan penjagaan yang optimum.

Justeru Mega Utusan Malaysia dengan kerjasama Agro Bank dan Mayconsult akan mengadakan Seminar Sehari Usahawan Fertigasi pada 17 Mei ini.

Bengkel sehari akan diadakan di Auditorium Jurutera, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Penceramahnya yang juga Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Mahamud Shahid telah menjalankan penyelidikan mengenai sistem fertigasi iaitu pengeluaran tanaman tanpa tanah yang menggabungkan pengairan dan baja dalam satu sistem.

Biasanya sistem fertigasi diletakkan di bawah struktur pelindung tanaman bagi menjamin pengeluaran hasil tinggi dan berkualiti serta menjadi alternatif terhadap sistem konvensional.

Biasanya hanya beberapa jenis sayur-sayuran dan buah yang mempunyai nilai pasaran tinggi seperti cili merah, tomato, timun, zukini, terung, melon dan strawberi.

Tujuan asal fertigasi adalah untuk mengelakkan tanaman daripada jangkitan penyakit akar seperti Pythium, Fusarium, Rhizoctonia dan penyakit layu bakteria yang kebanyakannya bawaan tanah.

Walaupun ramai yang mengatakan kaedah fertigasi melibatkan kos yang tinggi tetapi sebenarnya kos permulaan dapat diatasi selepas satu musim selain mengurangkan penggunaan air dan baja.

Sementara itu penggunaan tenaga kerja yang minimum dengan penggunaan alat pengatur masa automatik mengurangkan kos.

Biasanya selepas satu pusingan, medium akan dirawat racun kulat sebelum digunakan semula pada pusingan akan datang.

Sehingga kini sejak fertigasi dimulakan terdapat ramai petani yang menggunakan teknik tersebut dalam tanaman mereka.

Fertigasi jika dilakukan dengan teliti dapat menjana pendapatan lumayan kepada petani.

Sejak akhir-akhir ini kajian yang dijalankan mendapati halia sesuai ditanam secara fertigasi kerana boleh ditanam di tempat yang sama tanpa risiko dijangkiti dengan penyakit akar.

Kini ramai pengusaha fertigasi semakin berjaya seperti Ammar Abdul Aziz dan Harun Ismail yang mengusahakan tanaman cili merah dan cili padi.

Walaupun berbeza latar belakang Ammar yang mempunyai ijazah sarjana dalam bidang ekonomi manakala Harun hanya pekerja kampung tetapi matlamat mereka sama untuk membangunkan pertanian.

Kini usaha mereka telah mula menampakkan hasil yang memberangsangkan.

Herba untuk masalah obesiti

Peneraju dan pengasas penggunaan sains moden dalam pembangunan produk herba, Himalaya Herbal Healthcare melancarkan inisiatif kesedaran kesihatan masyarakat.

Inisiatif Kempen Kesedaran Kesihatan Ayurslim bertujuan membantu menangani masalah kesihatan yang mengancam kebanyakan masyarakat seperti obesiti dan lebih berat badan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lebih satu bilion manusia seluruh dunia mengalami masalah berat badan dan jika ini berterusan kadar obesiti akan meningkat sehingga 1.5 bilion menjelang 2015.

Perkara yang sama berlaku di negara ini berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan.

Dalam tempoh tujuh tahun lalu, bilangan obesiti di negara ini meningkat dari 20 ke 39 peratus dan satu daripada setiap lima orang dewasa ditakrif sebagai obes dengan 7.9 peratus wanita manakala 4.7 peratus lelaki.

Ketua Pegawai Eksekutif Embun Elit Sdn. Bhd., Pengedar Himalaya Herbal Healthcare, Marcel Gan berkata, obesiti telah mencapai tiga kali ganda dan jika tidak ditangani, ia boleh membawa kepada pelbagai penyakit lain pula.

"Kami akan mengedarkan sebotol sampel Himalaya AyurSlim iaitu formula tradisional herba ayurvedic yang bertujuan membantu mengurangkan masalah berat badan pengguna," katanya.

AyurSlim terdiri daripada kandungan herbal mengandungi lima bahan aktif untuk membantu mengurangkan masalah berat badan iaitu Garcinia Cambogia, Commiphora Wightii, Gymnema Sylvestre, Terminalia Chebula dan Trigonella Foenum-Graecum.

Marcel berkata untuk mendapatkan berat badan ideal, mereka juga perlu mengubah gaya hidup.

"Kempen Himalaya Ayurslim menyediakan maklumat kesihatan yang ringkas dan padat bagi memberikan kesan optimum," katanya.

Marcel menambah, setiap individu perlu merenung kembali gaya hidup dan paras kesihatan masing-masing.

Gaya hidup dunia masa kini menjadikan manusia semakin sukar untuk hidup sihat.

"Kami berharap kempen ini akan memberikan sinar baru bagi mereka yang obes, berat badan berlebihan atau bentuk badan tidak sesuai untuk mula berubah ke arah lebih sihat," katanya.

Kempen Kesedaran Kesihatan AyurSlim telah mula disiarkan di media cetak, elektronik, pameran perdagangan dan promosi.

Kempen berkenaan bermula di Pulau Pinang pada Januari lalu diikuti Sabah, Melaka dan Johor.

Ayurslim boleh didapati pada harga runcit RM44.90 sebotol 60 kapsul.

Bagi maklumat lanjut, pengguna boleh menghubungi Himalaya customer care line di 03-79567012 atau layari www.himalayahealthcare.com

Bisnes keluarga diladang buaya tertua


LADANG buaya Teluk Sengat telah menternak buaya spesies Crocodilus porosus sejak tahun 1979 lagi.


Menyusuri ladang kelapa sawit di kiri kanan bahu jalan raya Teluk Sengat yang terletak kira-kira setengah jam daripada Johor Bahru, anda mungkin tidak menyangka di sini terdapat sebuah ladang buaya.

Ladang buaya milik keluarga Ng yang terletak di Kampung Belanding, kira-kira 20 minit pemanduan daripada Kota Tinggi itu telah menternak buaya spesies Crocodilus porosus sejak tahun 1979 lagi.

Ia kini diuruskan oleh Ng Cheng Chiew, 50, anak sulung dari 10 beradik bersama isterinya, Ng Siew Eng. Cheng Chiew mewarisi ladang buaya seluas lapan ekar yang dikatakan tertua di negara ini daripada bapa dan datuknya, Ng Chin Chew yang juga pengasas penternakan buaya tersebut.

Kini dua anak lelakinya, Ng Zeng Hui, 18 dan Ng Zi Hui, 16 juga mulai mahir dengan pemeliharaan buaya.

Sebelum kewujudan ladang buaya itu, keluarga Ng asalnya adalah nelayan keturunan Teochow dan memiliki seekor buaya yang diturunkan dari generasi ke generasi sebagai haiwan peliharaan.

Kini, buaya di situ telah pun berusia lebih 130 tahun dan masih sihat serta ditempatkan di sebuah petak individu khas.

Nyata buaya yang telah kehilangan semua giginya itu masih menjadi tarikan utama Ladang Ng dan masih mampu memberi aksi menarik apabila diacah dengan makanan oleh 'penjinak buaya'.

Atas dasar minat dan kasih sayang datuk Cheng Chiew terhadap reptilia itu, dia telah mengumpul buaya yang ditemui nelayan-nelayan dan seterusnya melebarkan perniagaan keluarga daripada nelayan biasa menjadi pembiak buaya.

Siapa sangka ladang yang telah diusahakan selama tiga generasi itu meskipun kelihatan amat ringkas telah berkembang dan menempatkan kira-kira 1,400 ekor buaya serta pada waktu-waktu tertentu mampu menghasilkan sumber pendapatan yang lumayan kepada keluarga Ng.

Merawat asma

Percaya atau tidak dengan harga daging buaya melebihi RM80 sekilogram, seekor buaya dewasa yang boleh mencapai berat hingga 300 kilogram mampu menghasilkan pendapatan yang mencecah RM1,500 untuk setiap buaya.

Kata Cheng Chiew, daging buaya amat enak dihidangkan sebagai sup malah menurutnya amat berkesan untuk merawat asma.

Selain menjual kepada beberapa restoren makanan Cina di Johor Bahru, beliau juga membuka tempahan dan memasakkan sup tradisional Cina kepada pengunjung ladang.

Bagaimanapun, mereka menghadapi masalah menjual kulit-kulit buaya yang masih disimpan meskipun mereka mempunyai permit untuk menjualnya.

Ketiadaan pelanggan adalah masalah utama memandangkan beliau tiada orang tengah atau pengilang bagi memproses kulit-kulit tersebut.

Walaupun, perniagaan buaya boleh dikatakan mampu menjana hasil lumayan, Cheng Chiew yang turut mempunyai perniagaan bot nelayan, tidak menafikan hasil ladang buayanya amat terjejas ekoran kemerosotan ekonomi.

"Ramai orang sudah tidak mahu berbelanja atau mengadakan jamuan lagi kerana mahu berjimat, ini menyebabkan restoran juga tidak lagi membeli daging buaya. Sedangkan kos makanan dan penjagaannya amat tinggi," keluhnya.

Bagi mengekalkan kesihatan dan memelihara kualiti, sangkar-sangkar buayanya perlu kerap dibersihkan secara berkala, jadi beliau menggunakan sekitar 20 orang tenaga pekerja untuk melakukannya.

Kos makanan juga, ujarnya, sangat tinggi. Dia perlu memberi makan kepada seribu ekor buaya yang berusia dua tahun ke atas yang mana setiap seekor memerlukan sebanyak enam atau tujuh ekor ayam atau daging lembu beku setiap kali makan.

Makan udang

Lain pula kisahnya dengan anak-anak buaya yang berusia kurang dua tahun. Sekitar 400 ekor buaya kecil diberi lebih perhatian di sangkar khusus di kediaman Ng dengan kumpulan buaya paling muda berusia kira-kira tujuh bulan. Anak-anak buaya ini diberi makan udang tanpa kulit setiap hari.

Terbaru, bilangan buaya ladang Ng bertambah lagi sebanyak 13 ekor yang baru menetas dua minggu yang lepas. Bayi-bayi buaya itu memerlukan penjagaan yang lebih terperinci dan ditempatkan di dalam bekas istimewa kerana ia tidak boleh hidup dalam persekitaran yang terlalu sejuk atau panas.

Mereka juga tidak boleh terlalu lapar atau kenyang kerana dikhuatiri jatuh sakit. Oleh itu, kata Cheng Chiew, anak-anak buaya itu dijaga sepenuh masa oleh emaknya, Tan Tuay Siang, 70, di kediaman Ng.

Keluarga Ng tidak mempunyai banyak masalah memelihara 1,400 buaya mereka. Malah semasa banjir besar yang menjejaskan seluruh Johor hampir dua tahun lepas, kawasan ladang Ng sama sekali tidak terjejas ekoran dibina di lokasi yang amat strategik.

Jelas Cheng Chiew lagi, buaya-buayanya amat sihat dan bilangannya pasti meningkat setiap tahun. Seekor ibu buaya di ladang boleh bertelur sehingga 1,000 biji telur setahun. Sarang buaya yang menempatkan telur-telur akan dijaga dengan ketat oleh ibu buaya yang garang.

Tetapi bukan semua berjaya ditetaskan ekoran ancaman pemangsa seperti biawak dan ular. Juga banyak daripada telur yang rosak sehingga menyebabkan kadar kemandirian telur yang berjaya ditetaskan hanya sekitar 20 hingga 40 biji sahaja.

Buaya-buaya muda yang masih boleh membiak ditempatkan di dalam petak separa kolam berpasir besar, manakala buaya-buaya yang lebih tua berusia sekitar 90 tahun di tempatkan dalam petak-petak individu khas.

Hubungi 07-8955220 untuk maklumat lanjut atau bagi menempah lawatan berpandu ke ladang yang beralamat No. 58, Jalan Belanak, Kampung Belanding Teluk Sengat.

Musim pengambilan pelatih Skill-Tech rancak

Seperti lazimnya, bulan Mei hingga Julai setiap tahun adalah musim kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi atau pusat latihan kemahiran seluruh negara.

Mereka akan memilih pelbagai kursus mengikut minat dan kecenderungan masing-masing.

Institut Skill-Tech juga tidak terkecuali membuka tawaran kepada golongan belia untuk mengikuti latihan pertanian Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Lebih-lebih lagi, mulai tahun ini, pakej skim kluster latihan kemahiran sumber manusia membolehkan Skill-Tech membuat pengambilan secara besar-besaran.

Pengerusi Eksekutif Institut Skill-Tech, Nordin Abdul Malek berkata, inilah masa yang sesuai untuk generasi muda menyertai Skill-Tech kerana masa depan industri pertanian sangat cerah.

"Keyakinan masyarakat kian terbukti kerana semakin ramai yang memohon ke pusat latihan kami,'' katanya.

Pada masa ini, Skill-Tech satu-satunya pusat latihan kemahiran swasta yang menawarkan kursus berasaskan pertanian sepenuhnya.

Setiap pelatih juga tidak perlu memikirkan soal pembiayaan dan sara diri kerana semua pelatih skill-tech yang mengikuti program SKM tahap 1 dan 2 dibiayai sepenuhnya secara percuma selama setahun.

Ini termasuklah soal makan dan minum mereka.

Tambah Nordin lagi, peluang keemasan seumpama ini perlu direbut segera kerana peruntukan yang disediakan masih ada.

Sementelahan peluang masih ada mereka hendaklah mengambil peluang mengikuti kursus yang diminati.

Seperti mana yang diuar-uarkan sebelum ini, Skill-Tech turut menyediakan pakej niaga sebaik tamat latihan dengan pemantauan penuh Institut Keusahawanan Negara, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Semua graduan digalakkan memilih perniagaan sebagai pilihan utama.

Selain itu, mereka yang berkeupayaan menyambung peringkat tinggi pula boleh mengikuti Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dalam bidang pertanian. Pembiayaan peringkat diploma akan diaturkan.

Kelebihan DKM kepada pelatih membolehkan mereka menjadi tenaga kerja pertanian professional pada masa depan. Difahamkan pada masa ini lulusan DKM pertanian sangat sedikit dan hanya dijalankan secara terhad di pusat latihan pertanian kerajaan.

Skill-Tech dijangka akan memulakan DKM pada penghujung tahun ini sebagai perintis melahirkan tenaga mahir bertaraf diploma di Malaysia.

Memandangkan SKM dan DKM Skill-Tech menggunakan modul Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia, taraf dan standard latihan adalah setara dengan pusat latihan kerajaan.

Oleh itu, peluang keemasan yang disediakan kerajaan di Institut Skill-Tech hendaklah direbut segera sebagai pembinaan masa depan yang cemerlang sebagai petanih terlatih, moden dan jutawan hingga peringkat antarabangsa.

Ternak keli teknik Pro-Asli menjimatkan

BENGKEL ternakan ikan keli kaedah Pro-Asli yang diadakan di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang pada 9 Mei lalu mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

Lebih 400 orang telah menyertai bengkel yang mengetengahkan tentang kaedah pemakanan alternatif ikan keli yang dilihat jauh lebih menjimatkan.

Sepanjang bengkel tersebut, peserta telah didedahkan kepada dua teknik ternakan iaitu ternakan kaedah konvensional yang menggunakan makanan pelet 100 peratus dan ternakan kaedah Pro-Asli yang dapat mengurangkan kadar pemberian pelet atau tanpa pelet mengikut skala ternakan yang dijalankan.

Menerusi slot pertama, tumpuan lebih kepada ternakan konvensional termasuklah penyediaan kolam ternakan, penyediaan air, benih, teknik pemberian makanan, pengiraan kos makanan dan kos operasi, penggredan dan pensampelan, pengurusan selepas tuai dan sebagainya.

Slot kedua tertumpu kepada perbandingan slot pertama dengan kaedah Pro-Asli bermula penyediaan air ternakan sehingga tuaian.

Paling utama adalah pengiraan kos makanan yang dapat dijimatkan berbanding penggunaan pelet semata-mata.

Bengkel tersebut dilihat sesuai kepada semua penternak sama ada penternak baru menceburi ternakan keli mahupun mereka yang telah lama berkecimpung tetapi ingin mengetahui dan berkongsi pengalaman kaedah ternakan kaedah Pro-Asli.

Kaedah ini lebih menekankan cara untuk menjimatkan kos ternakan.

Seperti yang diketahui, kos makanan khususnya pelet amat membebankan penternak dan telah menyebabkan ramai penternak telah berundur diri.

Ini kerana, penternak yang menggunakan 100 peratus pelet tidak dapat menjual hasil ternakan mengikut harga pasaran biasa akibat kos makanan yang terlalu tinggi.

Kaedah pro-asli dilihat sebagai satu alternatif terkini dalam mengimbangi kos pelet yang terlalu mahal.

Terdapat dua pendekatan utama di dalam kaedah pro-asli iaitu:

l Bagi penternak sara diri, mereka boleh memilih untuk tidak menggunakan pelet, sebaliknya menjadikan sisa dapur seperti lebihan nasi, sayur dan roti sebagai makanan keli ataupun

l Bagi penternak komersial, mereka masih menggunakan pelet tetapi pada kuantiti yang lebih sedikit.

Dengan penggunaan vitamin keli, serapan zat dan nutrisi pelet dapat ditingkatkan semaksimum mungkin.

Penggunaan mineral keli di peringkat awal juga berjaya mengurangkan kadar pemberian pelet atau makanan lain kepada tiga kali seminggu kerana air ternakan telah dibekalkan makanan semula jadi.

Secara ringkasnya, kos makanan sepanjang ternakan bagi sekilogram keli hanya menelan belanja serendah antara RM1.20 dan RM1.50 berbanding kos penggunaan 100 peratus pelet yang biasanya melibatkan kos paling minimum RM4.50.

Bagi menyampaikan maklumat yang lebih jelas kepada orang ramai, Perintis Agrotech Centre telah merangka satu program jelajah ke seluruh negara dan bagi yang berminat, boleh daftarkan diri di talian 03-61873796 atau 019-6634527.

Yuran penyertaan sebanyak RM50 sahaja.

Lokasi Bengkel Ternakan Keli Pro Asli seterusnya adalah seperti berikut:-

lKolej Komuniti Pasir Salak - 23 Mei

lBatu Pahat, Johor - 30 Mei

lSg. Petani Kedah - 13 Jun

lKota Bharu, Kelantan - 27 Jun

lKuching, Sarawak - 5 Julai

lKota Kinabalu Sabah - 18 Julai